MUKADIMAH
Baru-baru ini, segelintir pemimpin UMNO mengisytiharkan mereka keluar parti atas pelbagai alasan termasuk tidak bersetuju dengan dasar parti termasuk kerjasama antara Pas dan UMNO.
Antaranya Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI bersama Presiden Penaja Parti Bumiputera Perkasa (Putra), DATUK DR. IBRAHIM ALI berhubung isu berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
UTUSAN: Datuk pernah dituduh sebagai ‘katak’ apabila membuat keputusan keluar dari UMNO satu ketika dahulu. Tetapi sekarang ramai sudah melakukan tindakan yang sama. Boleh Datuk ulas lanjut berhubung istilah ‘lompat beruk’?
IBRAHIM: Senario politik akhir-akhir ini agak teruk. Kita dengar beberapa pemimpin meninggalkan parti. Pelbagai alasan diberikan. Istilah ‘lompat beruk’ ini ditujukan kepada ahli politik yang berubah haluan untuk mengejar laba demi kepentingan sendiri dengan mengetepikan prinsip serta perjuangan. Mereka tidak bermaruah.
Kalau kita lihat, beruk melompat dari dahan ke dahan untuk dapatkan rambutan. Begitulah juga dengan mereka. Malah lebih teruk. Sebab itu kita panggil ‘lompat beruk’. Pengertian ‘lompat beruk’ berbeza berbanding ahli yang masuk parti lain sebab dilucutkan keahlian seperti mana Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahatir atau ahli yang keluar parti dan bergerak secara bebas atas dasar tidak sehaluan dengan perjuangan . Bukannya lompat untuk cari kesenangan sebab sudah tidak dapat projek dan hanya mahu cari ‘makan’ semata-mata.
UTUSAN: Dari segi moralnya, ramai berpandangan mereka yang menjadi Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu meletakkan jawatan jika melompat parti atau menjadi wakil rakyat Bebas. Ini memandangkan mereka menang dalam pilihan raya dahulu atas nama parti diwakili. Apa pandangan Datuk?
IBRAHIM: Pada saya, jika ahli politik itu jadi wakil Bebas atau meletak jawatan tanpa pergi ke parti lain itu tiada masalah dan mereka ini adalah wira. Tetapi jika melompat (parti) selepas beberapa bulan keluar parti itu tidak betul dan bukan bersikap ‘gentleman’. Lebih pelik, ada pula bekas-bekas menteri yang menghentam lawan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kini nak ‘balun’ pula parti lama dia. Ini juga tidak betul.
UTUSAN: Apa kesannya kepada politik negara jika fenomena melompat parti ini berterusan?
IBRAHIM: Kemajuan dan kemakmuran rakyat bergantung kepada ahli politik sama ada berwibawa atau tidak. Rakyat boleh menilai sikap sebenar mereka yang ‘melompat’ ini. Walaupun ‘baju’ sudah bertukar, tetapi wajah tetap sama. Apabila mereka diuji barulah kita sedar perangai sebenar. Rakyat sepatutnya tahu dan dapat menilai bahawa mereka tidak menerima apa-apa pun manfaat dengan menyokong ahli politik seperti ini. Kenalilah mereka tanpa mengira parti mana sekalipun. Saya jangka kalau mereka masuk parti lain, parti itu juga akan mengalami masalah.
UTUSAN: Secara jujur apa pandangan Datuk apabila pemimpin melompat parti ini memburuk-burukkan parti yang pernah memberi mereka pelbagai keistimewaan dahulu?
IBRAHIM: Orang yang ‘lompat beruk’ ini sama seperti suami menceraikan isterinya yang sedang sakit. Maknanya zalim, apatah lagi memburukkannya. Pada saya, mereka mengalami kejutan dan mahu cari parti yang ada kuasa untuk ‘berteduh’.
UTUSAN: Adakah Datuk bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh mereka yang keluar parti ini?
IBRAHIM: Tidak sama sekali. Setiap perkara apabila manusia buat demi kepentingan sendiri pasti ada pelbagai alasan yang akan diberikan demi matlamat sendiri. Mereka juga bukan pejuang sebenar kerana meninggalkan parti ketika dalam keadaan diuji. Alasan yang diberikan hanyalah sekadar retorik.











