Blog yang dibangunkan di WordPress boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembelajaran bermakna.
PEMBELAJARAN secara online memberi pengalaman sosial yang menarik kepada pelajar.
Pembelajaran bermakna akan berlaku apabila pelajar mendapat inspirasi, teruja, merasa dicabar dan bermotivasi untuk mendapatkan sesuatu.
Ia bukan berorientasikan markah atau gred.
Platform pembelajaran online melangkau penghantaran kandungan untuk memberi tumpuan kepada komuniti dan penglibatan pelajar.
Justeru, pensyarah Jabatan Pembudayaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM ), Prof. Madya Dr. Rosseni Din telah membina blog untuk tujuan pembelajaran melalui Kursus Online Terbuka Besar-Besaran (MOOC) menggunakan Model Reka Bentuk Universal untuk Pembangunan Lewes (Model UDin).
Beliau telah menggunakan platform percuma WordPress sebagai blog pembelajaran.
WordPress telah berubah menjadi antara pengedaran web yang paling terkenal dan kini, ia mengawal berjuta-juta laman web.
“WordPress merupakan perisian penerbitan daripada sumber terbuka. Ia percuma dan pengguna boleh manfaatkan untuk tujuan pembelajaran, komunikasi, pemasaran, perniagaan, pengurusan maklumat dan pengetahuan.
“Platform percuma itu merupakan evolusi paling berjaya daripada induk sistem penerbitan blog dan memiliki sejumlah besar pengguna dan pemaju untuk pelbagai aplikasi,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Bangi, Selangor baru-baru ini.
Menurut Rosseni, melalui kursus MOOC Jom Belajar WordPress, pelajar boleh memahami dan mengenal pasti ciri-ciri khusus yang diperlukan dengan bantuan modul UDin untuk membina laman web sendiri di WordPress.
“Pelajar perlu menjawab soalan kuiz bagi memastikan mereka memahami semua konsep pembangunan sesebuah blog dan dikehendaki menghantar alamat pelokasi sumber seragam (URL) untuk komen dan penambahbaikan,” katanya.
Beliau yang berasal dari Kedah dan dilahirkan di Cheras, Kuala Lumpur menjelaskan, blog Teknologi Pendidikan yang dibangunkan beliau di platform WordPress membantu pelajar membangunkan sendiri laman web mereka di platform sama bagi tujuan penilaian tugasan dalam kursus Teknologi Maklumat, Teknologi Pendidikan dan Pengajaran bantuan Komputer.
Pungutan data
Para pelajar akan menggunakan Model UDin iaitu model komprehensif untuk analisis, reka bentuk, pembangunan, pengujian,pelaksanaan, penilaian dan permodelan sebarang aplikasi, modul atau sistem pengajaran dan pembelajaran untuk imersif maya.
Ia menggunakan reka bentuk keterlibatan dan kaedah kesahan triangulasi interaktif iaitu menyemak data dengan menggunakan pelbagai sumber atau pelbagai prosedur dalam pungutan data.
“Pelajar akan menggunakan Model UDin secara langsung atau tidak langsung dan secara keseluruhan atau memfokus kepada fasa tertentu sahaja.
“Model UDin memerlukan pelajar memfokus kepada hasil pembelajaran dan aktiviti yang ditentukan, faham apa yang diperoleh dan menghayati serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut,” jelas graduan doktor falsafah (PhD) Pengurusan Sistem Maklumat UKM tersebut.
Pembelajaran bermakna berlaku apabila pelajar dapat mengaitkan pengalaman dan pengetahuan baharu dengan pengalaman serta pengetahuan sedia ada.
“Pembangunan sesebuah blog atau mana-mana sistem pengajaran dimulakan dengan fasa analisis iaitu melihat keperluan pengguna laman web selepas dilaksanakan kajian taksiran masalah.
“Kemudian, pelajar perlu melakukan fasa reka bentuk yang melibatkan spesifikasi keperluan WordPress termasuk teori, strategi, kandungan, nilai yang ingin diterapkan dan kaedah yang mahu digunakan,” jelasnya.
Fasa perlaksanaan dilakukan sebelum mengumpul data untuk mengenal pasti kesan pembelajaran kepada pelajar.
Rujukan pelajar
Menurut Rosseni, pendekatan Model UDin menyediakan garis panduan yang jelas dan berstruktur untuk pelajar atau pengguna lain merangka metodologi kajian.
Beliau turut membukukan metadologi dan teori yang digunakan dalam bentuk buku untuk rujukan pelajar.
Selain itu, maklumat tentang model UDin turut dikongsikan secara berkala dalam jurnal berindeks kendalian kumpulan penyelidikannya iaitu Jurnal of Personalized Learning dan di blog beliau.
Rosseni berkata, pembelajaran bermakna bersifat aktif, tulen, menghasilkan kemahiran berguna dan menyumbang kepada kelangsungan kerjaya seseorang.
“Model UDin memerlukan pelajar memfokus kepada hasil pembelajaran dan aktiviti yang ditentukan, faham apa yang diperoleh dan menghayati serta mengaplikasikan pengetahuan tersebut.
“Jika kita sebagai pendidik yang menggunakan teknologi sebagai pemudah cara pembelajaran bermakna, seharusnya kita menggunakan kemudahan sama untuk memudahkan cara pelajar melalui proses pembelajaran yang aktif, konstruktif, autentik, kolaboratif dan berasaskan hasil,” katanya.
Tambah Rosseni, Model UDin dibangunkan secara berperingkat dan sentiasa ditambah baik sejak tahun 1999 sehingga kini. Ia memberi manfaat bukan sahaja kepada pensyarah dan pelajar pengajian tinggi malah kepada usahawan dan terbuka kepada sesiapa. Ia boleh dilayari secara percuma.
Masalah
Bagi memudahkan pencapaian strategi pembelajaran bermakna, model UDin menyarankan kaedah pembelajaran hidbid berorientasikan masalah dan berasaskan projek atau kaedah POPeye.
Kongsi Rosseni lagi, atas usahanya menghasilkan blog untuk pembelajaran WordPress, beliau telah menerima Anugerah e-Pembelajaran Kebangsaan Blog/Wiki Terbaik Pengajian Tinggi pada tahun 2014.
Bukan itu sahaja, anugerah khas yang diterima berkait proses dan produk Model UDin termasuk Anugerah e-Pembelajaran Kaedah Kreatif Pengajian Tinggi 2015, Anugerah Khas Inovasi Pembelajaran Fakulti Pendidikan UKM untuk tahun 2012 dan 2013, Anugerah Khas K-Novasi 2015 dan 2016 serta Anugerah Kualiti Kategori Utama: Kreativiti dan Reka Cipta UKM 2003.
Beliau turut dianugerahkan dengan pingat-pingat emas daripada pelbagai pameran inovasi dan reka cipta antara tahun 2012 hingga 2018.
Sementara itu, Pembantu Penyelidik dan pelajar PhD Teknologi Maklumat UKM, Nabilah Othman, 26, berkata, model UDin yang dipraktiskan untuk menukarkan modul WordPress yang dibina Rosseni menjadi produk MOOC Jom Belajar WordPress pada tahun 2017 telah memberi tuah kepada beliau apabila berjaya mendapat pingat Emas semasa menyertai pertandingan inovasi peringkat kebangsaan.
“Saya berjaya membina produk MOOC Jom Belajar WordPress dengan mudah berdasarkan model UDin dan secara tidak langsung membantu memberi keyakinan untuk melakukan pembentangan dan menyertai pertandingan,” katanya.
Produk yang dibangunkan tersebut membantu pelajar mempelajari WordPress dengan mudah dan pembelajaran boleh berlaku di mana-mana tanpa perlu ke kelas.
“Akses untuk MOOC Jom Belajar WordPress boleh dicapai dengan mudah termasuk melalui penggunaan telefon pintar.
“Justeru, ia sesuai untuk kajian semasa kerana data yang dikumpul secara dalam talian menunjukkan penerimaan dan penggunaan yang berterusan,” tutur pelajar jurusan Sarjana Pendidikan Sumber dan Teknologi Maklumat di Fakulti Pendidikan UKM tersebut.











