IPOH 25 Sept. – Politeknik Ungku Omar (PUO) terus cemerlang apabila memenangi dua pingat emas, satu pingat perak dan satu pingat gangsa dalam Kongres dan Kejohanan Persatuan Robot Bola Sepak Antarabangsa (FIRA) Roboworld Ke-23 di Universiti Feng Chia di Taichung, Taiwan baru-baru ini.
Dalam pertandingan itu, pasukan robotik PUO memperoleh pingat emas melalui kategori hurocup iaitu spartan race dan bola jaring, pingat perak untuk kategori androsot (soccer 3 vs 3) dan pingat gangsa melalui hurocup (sprint).
Penyelaras Robot FIRA PUO, Ahmad Rakimi Mohamad berkata, kejayaan yang dicapai pasukan robotik Politeknik Ungku Omar itu membuktikan pasukan robotik politeknik kini bertaraf dunia.
Katanya, kejayaan tersebut juga adalah hasil usaha keseluruhan pasukan robotik PUO melibatkan pensyarah dan pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Elektrik.
“Pasukan robot FIRA Politeknik Ungku Omar diwakili Muhammad Zubir Mohd. Hanifah, Safpbri Johari, Tan Kim Loong, Teoh Kai Boon, Ooi Zheng Ming, Zulkarnain Abdul Hamid, Muhammad Azizuddin Mansor dan Muhammad Farhan Mohamad Faisol.
“Empat orang pelajar yang menyertai pertandingan ini terdiri daripada pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan seorang pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, penyertaan pelajar dan pensyarah dalam pertandingan itu secara tidak langsung membantu pelajar untuk berfikiran kreatif dalam melakukan inovasi.
“Selain itu ia juga dapat menonjolkan bakat peserta dalam membentuk strategi terbaik untuk kejayaan robot masing-masing,” katanya.
Dalam pertandingan itu, PUO berjaya mengharumkan nama negara bersama pasukan robotik dari empat buah politeknik lain di mana meraih sembilan pingat emas, tiga pingat perak dan dua pingat gangsa.
Kejohanan FIRA Roboworld Ke-23 itu merupakan acara tahunan yang diadakan sebagai platform pertandingan robot bola sepak serta medium pembentangan mengenai perkembangan teknologi robotik di peringkat antarabangsa.
Kejohanan ini merupakan kali kesembilan penyertaan politeknik negara ini dalam FIRA Roboworld dan bertanding dengan 10 negara lain seperti Iran, Korea, India, Taiwan, China, Brazil, Rusia, Filipina dan Indonesia.











