Pukau penonton - Utusan Malaysia

Pukau penonton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 25 Sept. – Selama lebih dua jam, penonton bagaikan terpaku di tempat duduk masing-masing.

Setiap masa mereka tak lepas memandang ke arah pentas agar tidak terlepas aksi-aksi menarik yang ditunjukkan selain adrenalin mereka juga bergerak laju setiap kali aksi akrobatik dipertontonkan.

Tepukan gemuruh diberikan setiap kali aksi menarik dipamerkan oleh artis berpengalaman tanda mereka terhibur dengan persembahan yang dibuat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Deretan kerusi di bawah khemah Big Top berhawa dingin yang mampu memuatkan 2,700 penonton di tapak parkir Queensbay Mall itu dipenuhi oleh penonton yang bukan sahaja dari Pulau Pinang malah ada datang dari Perak dan Kedah.

Di satu sudut kelihatan Nabila Abdul Razzak begitu teruja me­nyaksikan aksi-aksi yang ada kalanya berbahaya yang ditunjukkan oleh kumpulan sarkas dari Rusia, The Moscow Circus yang sedang membuat persembahan itu.

Menurut Nabila, 24, dia sanggup datang dari Bagan Serai, Perak bersama rakannya Nurul Husna Abdullah, 26, untuk me­nyaksikan persembahan sarkas itu yang sebelum ini hanya ditonton di kaca televisyen.

“Saya amat teruja apabila mendapat maklumat mengenai kumpulan sarkas ini yang akan membuat persembahan di Pulau Pinang, jadi saya tak lepaskan peluang hari ini untuk menonton aksi-aksi mereka.

“Memang terhibur sangat de­ngan aksi-aksi menarik dan berbahaya yang ditunjukkan sehingga saya menjerit apabila mereka melakukan aksi akrobatik seperti melompat di atas tali serta tergantung di udara,” katanya yang menjalankan perniagaan sendiri.

Tambahnya, paling menarik baginya adalah sarkas itu tidak melakukan aksi bersama haiwan seperti yang sering dilakukan oleh kumpulan sarkas lain.

Perasaan sama dikongsi Nurul Husna yang mengakui terhibur dengan aksi-aksi yang dipersembahkan serta kagum dengan kehebatan artis-artis terlibat mela­kukan akrobatik serta silap mata.

Jelasnya, antara persembahan yang menarik perhatiannya adalah aksi menukar baju de­ngan pantas selain juggling oleh Semion Krachinov yang mampu melambungkan tujuh biji bola selain baton pada satu masa beserta gerakan menghiburkan.

“Saya rasa tak puas melihat aksi antaranya pejalan kaki atas wayar, artis trapez dan buaian akrobat serta kasut roda di atas pelantar, pemutar diablo yang mencabar graviti dan pakar ilusi yang penuh kejutan.

“Pada masa sama saya juga terhibur dengan telatah telatah badut Armen Asiryants yang mampu menghiburkan penonton dengan pelbagi gelagat biarpun tanpa dialog,” ujarnya.

The Moscow Circus akan me­nga­dakan pertunjukan di 10 buah bandar iaitu Petaling Jaya, Pulau Pinang, Prai, Melaka, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Batu Pahat, Ipoh, Kuantan dan Klang sepanjang lapan bulan berada di negara ini.

Jelajah edisi khas yang dibawakan oleh Penerbit Eksekutif Datuk Seri G. Radakrishnan dan Yahna SG bersama Penerbit Kenneth Lee dan Victor Pilipovich itu melibatkan artis yang dipilih daripada dua syarikat sarkas terkenal di Rusia iaitu Bolshoi Circus yang juga dikenali sebagai The Moscow State Circus at Vernadsky Prospekt dan Nikulin Moscow Circus.

Selain di Queensbay Mall, persembahan itu akan turut diadakan di Auto City, Juru bermula 6 hingga 21 Oktober ini.

Tiket persembahan boleh didapati dengan harga yang mampu milik serendah RM50 untuk tempat duduk menghadap belakang persembahan, RM80 tempat duduk menghadap depan persembahan, RM150 untuk Premium B, RM220 untuk Premium A dan RM280 untuk tempat duduk Ringside.

Pemegang kad Maybank juga boleh menikmati diskaun sehingga 15 peratus untuk pakej keluarga serta faedah lain terma­suklah penebusan TreatsPoints/ Membership Rewards malah berpeluang memenangi dua tiket Premium B dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM1,500.

The Moscow Circus juga telah mengambil langkah-langkah tambahan untuk memastikan persembahan ini memberi sumbangan positif terhadap masyarakat dan ekonomi Malaysia di mana hasil daripada penjualan tiket akan disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia.

Untuk keterangan lanjut boleh layari laman sesawang www.themoscowcircus.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini