KUANTAN 25 Sept. – Kewujudan portal komuniti ‘ADAM’ yang dilancarkan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) baru-baru ini menjadi wadah penyatuan masyarakat merentasi generasi dan geografi menerusi teknologi selari dengan slogan Pelan Strategik UMP 2016-2020 iaitu Memasyarakatkan Teknologi.
Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Seri Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, keunikan portal berkenaan adalah sebagai hub perpaduan dan peradaban bagi menyantuni serta menyatukan komuniti global berteraskan sumbangan umat terhadap keharmonian dunia terutama melalui pengurusan kepelbagaian sains dan teknologi.
“Pembangunan portal dengan kerjasama Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Pahang (BTPN) ini menyaksikan ia mengandungi 40 modul berkaitan perpaduan dan peradaban yang boleh dimanfaatkan generasi muda serta pendidikan awal kanak-kanak,” katanya pada majlis penutup Festival Aku Darah Anak Malaysia (ADAM) sempena sambutan Hari Kebangsaan di Dewan Astaka UMP dekat sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, Daing Nasir berkata, kewibawaan universiti sebagai gedung ilmu pengetahuan dan iklim kesarjanaannya menuntut warga UMP melihat patriotisme tersebut dari dimensi tersendiri.
Kata beliau, penganjuran Festival ADAM berkenaan dapat dioptimumkan peranannya sebagai semaian subur patriotisme dalam kalangan warga kerja serta mahasiswa univeristi tersebut.
“Dimensi patriotisme ini adalah keupayaan untuk mendakap standard pemikiran kelas pertama dan budaya tinggi yang disertai kesedaran sivik dan penghayatan nilai etika.
“Dimensi inilah yang sekian lama menjadi cabaran kepada kita warga Malaysia untuk direalisasikan. Menuju aspirasi menjadi negara maju, soal pemikiran, budaya, sivik dan etika begitu kritikal sebagaimana yang berjaya dibuktikan oleh rakan-rakan kita di Jepun,” katanya.











