Punca kampung kerap banjir, denggi - Utusan Malaysia

Punca kampung kerap banjir, denggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 25 Sept. – Sistem perparitan yang dipenuhi sampah sarap di Kampung Alai di sini menyebabkan penduduk hidup dalam kegusaran sejak lebih lima tahun lalu.

Selain menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, kea­daan itu dipercayai menjadi punca kejadian banjir yang ke­rap berlaku sejak ke­belakangan ini.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Alai, Mohd. Esa Mohamad berkata, parit-parit yang sepatutnya berfungsi sebagai pen­cegah banjir banyak tersumbat akibat sikap penduduk yang membuang sampah sesuka hati.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sistem perparitan di jalan besar juga banyak yang telah tersumbat sehingga menyekat aliran parit ke Sungai Punggur dan menyebabkan banjir.

“Sudah beberapa kali kampung ini dilanda banjir akibat masalah ini sedangkan dahulu kampung ini jarang dinaiki air,” katanya.

Tinjauan Utusan Malaysia di kampung tersebut mendapati dakwaan penduduk itu berasas apabila kebanyakan saliran parit yang dibina di hadapan rumah dan di tepi jalan sudah teruk tercemar.

Berdasarkan pemerhatian, pencemaran yang berlaku saban tahun juga menyebabkan keadaan parit semakin cetek dan mengecil sehingga ada yang tersumbat.

Bagaimanapun menurut Mohd. Esa, masalah yang berlaku itu bukan hanya berlaku di kampungnya tetapi turut melibatkan beberapa buah kampung berhampiran yang mempunyai sistem saliran parit yang sama.

“Masalah ini bukan berpunca daripada saluran parit di kampung ini sahaja tetapi turut berlaku di beberapa buah kampung berhampiran.

“Walaupun kerja pembersihan kerap dilakukan secara gotong-royong, sampah-sarap tetap masuk semula ke saliran parit terutama setiap kali hujan lebat,” katanya.

Mohd. Esa mendakwa, walaupun masalah berkenaan te­lah disuarakan kepada pihak berkuasa tempatan, tiada tindakan yang dilakukan untuk membersihkan sistem perparitan itu.

Pada Ogos lalu, hampir 40 buah rumah di Kampung Alai terjejas akibat bencana banjir dan menurut Mohd. Esa, ang­ka itu hanyalah daripada mereka yang membuat aduan sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini