KUALA LUMPUR 25 Sept. – Kompleks Sukan Bukit Jalil yang berwajah baharu dan kini dikenali sebagai KL Sports City, dicalonkan sebagai Projek Terbaik dalam Anugerah Pembangunan dan Reka Bentuk Perniagaan Stadium 2018.
Malaysian Resources Corporation Bhd. (MRCB) berkata, projek tersebut disenarai pendek bersama tujuh lagi projek termasuk Fiserv Forum, Little Caesars Arena dan Audi Field di Amerika Syarikat (AS) dan Optus Stadium di Australia.
Katanya, MRCB yang dilantik untuk menaik taraf KL Sports City dapat menyiapkan projek itu dalam masa 18 bulan, menepati sasaran penganjuran Sukan Asia Tenggara ke-29.
“Pemenang akan diumumkan pada Sidang Kemuncak Pembangunan dan Reka Bentuk Perniagaan Stadium 2018 di London pada 13 dan 14 November ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bagi mereka bentuk semula kompleks sukan itu yang merangkumi empat stadium, tumpuan diberikan terhadap kecemerlangan di peringkat antarabangsa dengan menggabungkan seni bina moden dan inovatif serta tumpuan khusus terhadap kemampanan.
KL Sports City kini mengalami transformasi daripada hanya digunakan untuk acara sukan kini menjadi pusat rekreasi pelbagai guna termasuk untuk joging, berbasikal, papan luncur, futsal dan bola keranjang yang boleh digunakan sepanjang tahun.
Ia turut menempatkan kemudahan bertaraf dunia termasuk Stadium Nasional yang diisytiharkan mematuhi Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Pusat Renang Nasional yang dibina mengikut Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA).











