LIPIS 25 Sept. – Kejatuhan harga komoditi getah dan sawit di pasaran mendorong penduduk Kampung Bukit Betong di sini yang terlibat dalam industri berkenaan mencari buah liar untuk menampung pendapatan keluarga.
Antara buah mempunyai nilai komersial tinggi dan enak dimakan adalah kundang atau nama saintifiknya ‘bouea macrophylla’ yang boleh didapati di pinggir kampung serta hutan.
Seorang penduduk Kampung Bukit Betong, Badra Isa Ab. Hamid, 52, berkata, pokok kundang lazimnya berbuah lebat pada penghujung musim rambutan, durian, manggis dan langsat.
“Tahun ini, penduduk di sini agak bertuah kerana boleh dikatakan pokok kundang berbuah lebat. Buah ini dijual pada harga RM5 sekilogram di pekan sehari Bukit Betong dan Kuala Lipis.
“Ada orang luar yang datang memborongnya untuk dipasarkan di Lembah Klang,” katanya di sini baru-baru ini.
Sementara itu, rakannya, Wan Shahrul Azman Wan Jamaluldin, 47, berkata, buah kundang yang masak berwarna kekuningan dan hampir merah enak dimakan begitu sahaja manakala yang masih mentah berwarna hijau boleh dibuat jeruk.
Katanya, kundang antara buah nadir atau jarang ditemui laris di pasaran kerana mempunyai rasa masam bercampur manis yang mampu menambat selera orang ramai.
“Tuntutan perbelanjaan dapur dan keperluan keluarga yang semakin mendesak berikutan kejatuhan harga komoditi getah serta sawit menyebabkan penduduk menjual buah-buahan termasuk kundang,” katanya.











