[VIDEO] Semakan kehakiman SIS didengar - Utusan Malaysia

[VIDEO] Semakan kehakiman SIS didengar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 25 Sept. – Semakan kehakiman Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia) bagi mencabar keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai ‘sesat dan menyeleweng’, akan didengar meritnya di Mahkamah Tinggi.


Video oleh ZAKI AMIRUDDIN

Selain SIS, semakan kehakiman itu turut difailkan oleh pengasasnya, Zainah Mahfoozah Anwar dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Perkara itu diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan hari ini selepas membatalkan rayuan Maj­lis Agama Islam Selangor (MAIS), Jawatankuasa Fatwa Negeri Sela­ngor dan Kerajaan Negeri Selangor.

Panel tujuh hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum berpuas hati agar semua pertikaian yang dibangkitkan dapat diselesaikan di peringkat Mahkamah Tinggi demi menjimatkan masa mahkamah.

Dengan keputusan itu, kuorum berkenaan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2 Mac tahun lalu. Pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ditetapkan pada 2 Oktober ini.

Malanjum bersidang bersama Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim; Tan Sri Azahar Mohamed, Tan Sri Aziah Ali, Datuk Rohana Yusof dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh.

Panel itu sepatutnya men­dengar rayuan MAIS dan dua pihak lagi bagi memuktamad­kan sama ada pertikaian ber­kaitan fatwa tertakluk di bawah bidang kuasa mahkamah syariah atau mahkamah sivil.

Mahkamah turut merekodkan perintah persetujuan yang dicapai oleh semua pihak bahawa perayu bebas membangkitkan sebarang isu termasuk isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Perintah tersebut juga me­nyatakan, pertikaian berkaitan isu yang dibangkitkan akan didengar bersama merit semakan kehakiman.

Selain itu, pihak responden tidak boleh membangkitkan bantahan berdasarkan prinsip Res Judicata yang telah ditimbulkan dalam keputusan Mahkamah Tinggi yang terdahulu ketika pe­ringkat permohonan kebenaran semakan kehakiman.

Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi diarah mendengar dan memutuskan semua isu yang akan dibangkitkan ketika menentukan semakan kehakiman.

Forum SIS (Malaysia) memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan yang mengisytiharkan pertubuhan itu sebagai ‘sesat dan menyeleweng’ daripada agama Islam.

Pertubuhan itu memohon pe­rintah certiorari untuk memba­talkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Selangor dan MAIS yang menyatakan mana-mana pertubuhan, individu serta kumpulan yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pemohon juga memohon pengisytiharan bahawa keputusan Jawatankuasa Fatwa Se­langor dan MAIS mengarahkan, melalui fatwa, Suruhanjaya Ko­munikasi dan Multimedia (SKMM) untuk menyekat laman sesawang sosial yang bertenta­ngan dengan ajaran Islam adalah bercanggah dengan Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini