BIDOR: Wira negara, bekas anggota 69 Komando, Konstabel Abri Bah Ali, 60, hidup dalam kedaifan di sebuah pondok buruk di perkampungan Orang Asli di Kampung Kuala Senta yang letaknya kira-kira 20 minit berkenderaan dari pekan Bidor.
Di pondok itu dia berteduh bersama seorang anak lelaki berusia 13 tahun sejak berpisah dengan isteri 12 tahun lalu dan hidup secara ala kadar.
Pondok usang yang menanti masa untuk rebah itu tiada apa-apa kecuali sebuah beg pakaian buruk dan beberapa helaian pakaian yang bergantungan.
Sebuah tungku batu di hadapan rumah pula digunakan untuk memasak atau menyalakan api pada waktu malam.
Jika merasa tidak sihat, Abri akan berjalan kaki untuk ke klinik kerajaan di pekan Bidor yang mengambil masa kira-kira satu jam 30 minit.
Dia hanya hidup bergantung daripada apa-apa sahaja sumber makanan yang ada di sekeliling perkampungan tersebut yang dicarinya sendiri kerana tidak boleh melakukan kerja berat setelah terlibat kemalangan jalan raya 10 tahun lalu.
Rutin hariannya ialah masuk ke hutan setiap pagi mencari petai atau lain-lain hasil hutan untuk dijual.
Sesekali ada jiran terdekat yang juga merupakan ahli keluarga menghantar makanan untuk dia dan anaknya, namun Abri yang berpegang kepada prinsip tidak mahu menyusahkan orang lain tidak pergi meminta atau mengharapkan ihsan sesiapa.
“Beginilah hidup saya tapi saya sudah biasa. Saya bersyukur kerana boleh hidup secara ala kadar kerana semasa dalam 69 Komando dulu kehidupan di hutan lagi sukar.
“Saya memang tiada mohon bantuan atau apa-apa kerana tidak mahu menyusahkan sesiapa. Pondok ini pun bocor dan jika hujan saya dan anak akan basah tapi kami sudah biasa,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, kedaifan hidup wira negara itu mendapat perhatian sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Sahabat Jariah apabila menziarahi Abri menyampaikan sumbangan barang keperluan serta menyatakan hasrat untuk membaiki pondoknya semalam.
Dalam kunjungan tersebut, Pengerusi Sahabat Jariah, Johan Halid meminta keizinan Abri untuk membina pondok baharu bagi memberi keselesaan dia dan anaknya selain menghargai jasanya kepada negara.
Menurut Johan, pihaknya menerusi kerjasama sebuah syarikat pembekalan tenaga, Gading Kencana Sdn. Bhd. akan menyiapkan kerja-kerja itu yang mengambil masa sebulan dengan anggaran kos sebanyak RM20,000.
“Bantuan ini bukan kerana kasihan atau simpati pada Abri, tapi pondok yang ada sudah uzur dan tidak selamat.
“Jadi, lebih bagus jika kita baiki pondok ini dan dibuat satu bilik agar Abri dan anak dapat tinggal lebih selesa,” katanya. – UTUSAN










