KUALA LUMPUR 24 Sept.- Mangsa liwat kepada pengetua pusat tahfiz dilihat masih meneruskan pengajian seperti biasa seolah-olah ibu bapa mereka tidak mengambil berat terhadap apa yang berlaku terhadap anak-anak mereka ketika ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berkata, beliau juga terkejut dengan keadaan pusat tahfiz yang tidak terurus apabila berdepan dengan isu kelulusan daripada pihak berwajib, masalah kewangan serta ketiadaan tenaga pengajar.
Katanya, ibu bapa seharusnya lebih peka terhadap masalah yang dihadapi anak-anak terutamanya apabila melibatkan kes gangguan seksual.
“Saya ada berbual dengan mangsa dan apa yang saya boleh katakan, ibu bapa mereka nampaknya seperti tidak kisah, kalau sayalah, saya sudah lama bawa pulang.
“Jangan hantar anak ke pusat tahfiz lepas itu hanya sibuk dengan diri sendiri, itu tidak betul, ibu bapa bertanggungjawab supaya mengambil berat mengenai isu ini terutamanya apabila menghantar anak ke institusi tahfiz yang tidak berdaftar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di pusat tahfiz tersebut, di Kepong, di sini, hari ini.-UTUSAN ONLINE











