KUALA LUMPUR 23 Sept. – UMNO berkemungkinan tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bulan depan.
Sehingga ke hari ini, UMNO masih berteka-teki dan berdiam diri mengenai pendirian parti sama ada mahu mempertaruhkan calon menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson.
Sumber memberitahu, perkara itu ada dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO hari ini, namun masih belum ada keputusan.
Walau bagaimanapun, menurut sumber, ada petanda yang menunjukkan UMNO tidak akan meletak calon bagi menentang Anwar.
Difahamkan mesyuarat biro politik UMNO akan diadakan esok bagi memutuskan pendirian parti itu sama ada mahu meletak calon atau tidak.
Pas sebelum ini memberitahu bahawa parti itu akan memberi laluan kepada UMNO untuk bertanding di Port Dickson dan bersedia membantu daripada aspek jentera pilihan raya.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh bekas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah bagi memberi laluan kepada Anwar untuk merealisasikan hasratnya menjadi Perdana Menteri.
Selain itu, perkara lain yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah berkenaan hala tuju parti, termasuklah kerjasama dengan Pas.
Sumber memberitahu, Ahli Majlis Tertinggi parti masih berbelah bahagi mengenai perkara itu.
Kata sumber, ada yang bersetuju tetapi meletakkan syarat dan ada yang menolak kerjasama tersebut.
“Yang menolak menzahirkan kebimbangan UMNO bakal terikut-ikut rentak Pas,” ujar sumber. – UTUSAN ONLINE











