IPOH – Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak yang dijadualkan diadakan esok melibatkan 24 cabang di seluruh negeri itu ditangguhkan ke satu tarikh baru yang akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pengerusi PKR Perak, Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty berkata, penangguhan tersebut dilakukan selepas menerima arahan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti, Datuk Rashid Din sebentar tadi.
“Pimpinan mengambil maklum mengenai persediaan yang telah dibuat oleh calon-calon yang bertanding namun saya kira penangguhan ini wajar diterima setiap anggota.
“Ia berikutan kita tidak mahu sebarang perkara tidak diingini berulang di negeri ini walaupun sebelum ini kita lihat anggota di sini berdisiplin dan mengikut tatatertib dengan baik,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat PKR Perak di sini sebentar tadi.
Turut hadir Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail.
Mengulas lebih lanjut mengenai kekecohan yang berlaku di Kedah sehingga keputusan pemilihan parti di negeri itu dibatalkan, Muhammad Nur mencadangkan pemilihan parti dijalankan secara manual menggantikan e-undi.
“Saya mengesyorkan agar JPP menggunakan kaedah manual seperti mana yang dilakukan sebelum ini sebagai alternatif kerana tempoh pemilihan semula tidak boleh ditunda dalam tempoh masa yang lebih lama demi menjaga moral anggota parti.
“Ia sekali gus akan menjejaskan persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson tidak lama lagi,” katanya. – K! ONLINE











