SEREMBAN 22 Sept. – Seorang kakitangan Jabatan Kastam Diraja Malaysia meninggal dunia semasa menyertai aktiviti mendaki Gunung Berembun, dekat sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Norazam Khamis berkata, mangsa, Hazrul Nizam Mohd. Haranlani, 41, dipercayai dari Putrajaya menyertai aktiviti itu bersama 26 individu lain.
“Mereka mula mendaki gunung itu pada pukul 7 pagi dan mangsa tiba-tiba pengsan sewaktu berada di ketinggian kira-kira 1,219 meter.
“Pihak bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak polis pada pukul 11.44 pagi dan tiba di Gunung Berembun kira-kira 20 minit kemudian.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira empat jam untuk tiba di lokasi mangsa dan mendapati lelaki itu telah meninggal dunia,” katanya, di sini hari ini.
Norazam berkata, operasi membawa mayat mangsa turun dari gunung tersebut sedang dijalankan.
Katanya, seramai 14 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Seremban 2 dan Senawang terlibat dalam operasi berkenaan. – UTUSAN ONLINE











