KUALA LUMPUR 22 Sept. – Penyebaran berita palsu tentang kematian vokalis kumpulan Iklim, Saleem benar-benar meninggalkan kesan mendalam buat keluarganya.
Menurut isterinya, Juriah Bachok, berita palsu tentang kematian suaminya itu memberi tekanan buat dia dan keluarga yang sedang diselebungi kesedihan.
“Keadaan dia sangat parah dan boleh bayangkan tak bagaimana perasaan saya dan keluarga ketika ini sedang bersedih serta mengharapkan dia lekas sembuh.
“Saya amat terkejut bila dihubungi rakan media bertanyakan tentang berita ini sedangkan kami sendiri tidak tahu.
“Andai kata benarlah, orang pertama yang sepatutnya diberitahu ialah waris keluarga. Bagiamana orang luar lebih tahu berbanding kami sekeluarga?” katanya dalam nada kesal ketika dihubungi Utusan Online sebentar tadi.
Kekesalan Juriah tambah berganda apabila berita kematian suaminya itu bukan kali pertama disebarkan.
Katanya, sebelum ini suaminya pernah dimasukkan ke hospital akibat sakit lain dan dia masih bersabar sekalipun tersebar laporan palsu mengenai Saleem yang didakwa meninggal dunia.
“Namun kali ini, kami sekeluarga tidak dapat menerima (berita palsu) sebab insiden kali ini disebabkan dia kemalangan dan keadaannya parah.
“Orang awam hanya tahu mengambil kesempatan dalam kesedihan kami sekeluarga. Lebih baik mendoakan kesembuhan Saleem daripada menyebarkan fitnah,” tegasnya lagu.
Kata Juriah, sebaik tiba di rumah pukul 12.30 tengah malam tadi, dia dan menerima banyak panggilan telefon daripada wartawan bertanyakan kesahihan berita tersebut.
“Penat pun tak hilang lagi, saya bergegas semula ke hospital dan hanya pukul 6.30 pagi tadi baru balik ke rumah untuk rehat sekejap,” tegasnya sambil menyarankan orang awam untuk periksa sebelum sebarkan tentang sesuatu hal.
Dalam kejadian pukul 3.20 petang semalam, motosikal yang ditunggang Saleem atau nama sebenarnya, A. M Saleem Abd. Majeed, 57, bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan di Kilometer 16 Lebuh Raya Grand Saga.
Saleem kini sudah dipindahkan ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk rawatan lanjut selepas tulang rusuknya patah dengan satu daripadanya tercucuk pada paru-paru. – UTUSAN ONLINE











