PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menafikan tanggapan kononnya Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO sebagai tekanan untuk mereka menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tegas beliau, PDRM serta SPRM berhak menyiasat mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam jenayah.
“Secara kebetulan, mereka disyaki terlibat dalam jenayah, kalau mereka tidak terlibat jenayah, mereka tidak disiasat, polis mengetahui perkara ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di sini hari ini.
Menurut Mahathir, beliau juga tidak campur tangan dalam urusan PDRM dan SPRM yang membawa kepada pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di mahkamah.
Dalam pada itu, Mahathir mengakui terdapat pemimpin-pemimpin UMNO yang menemuinya termasuk Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein namun beliau menjelaskan tidak halangan sebenarnya untuk pertemuan-pertemuan diadakan.
“Mereka datang berjumpa saya, selepas berjumpa saya, mereka berjumpa juga Pas, anda sekarang bebas, tidak seperti dahulu, sebelum ini kalau berjumpa orang salah, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) akan datang,” katanya. – K! ONLINE











