KUALA LUMPUR – Pentas akhir program realiti, Pendakwah Muslimah akan disiarkan secara langsung dari AlHijrah Big Studio Cyberjaya (ABS) pada 22 September 2018, pukul 9 malam hingga 11 malam.
Dihoskan oleh Saudara Syamsul Debat dan Farah Diana Anuar, rancangan realiti berkenaan dijangka akan mencetuskan fenomena baru terhadap penglibatan wanita sebagai sebahagian daripada komuniti yang menyumbang kepada kesejagatan ummah.
TV AlHijrah turut menyasarkan peratusan tontonan tertinggi yang sudah semestinya meninggalkan impak besar buat penonton stesen ini khususnya.
Berita berkaitan:
Rancangan ini menyasarkan misi mencari pendakwah terbaik di kalangan wanita dan mengubah fikiran konservatif sesetengah masyarakat mengenai peranan wanita dalam pembangunan Islam.
17 peserta telah disenarai pendek dan layak untuk mengikuti modul latihan peringkat pertama yang berlangsung bermula 2 September 2018 hingga 8 September 2018.
Menerusi modul permulaan ini para peserta akan dilatih dengan asas-asas dakwah seperti bengkel pengucapan dan penulisan, pembentukan sahsiah dan peribadi, ilmu dan amalan berdakwah serta beberapa modul lain.
Namun begitu, hanya enam peserta terbaik sahaja akan dipilih untuk mengikuti modul peringkat kedua seterusnya berentap untuk dinobatkan sebagai juara Pendakwah Muslimah.
Enam finalis yang layak ke peringkat akhir ialah Erny Masnita Baharun, Nurul Amirah Mohd. Azmi, Nora Mazwin Abdul Sammad, Noor Hidayah Adzman, Raudhatul Jannah MohDd. Rozli dan Azizah Ahmad
Kesemua finalis ini merupakan antara mereka yang terbaik , mampu dan berupaya menyampaikan dakwah secara lisan atau tulisan dan mempunyai daya ketahanan fizikal dan mental yang kuat.
Para finalis ini mendapat bimbingan Prof. Madya Dr. Mohd. Nor Mamat, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood dan Ustazah Zawiah Hassan. – K! ONLINE











