KUALA LUMPUR 20 Sept. – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mencipta sejarah tersendiri apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bersetuju untuk menjadi penaung baharu badan induk sukan badminton negara.

Secara tradisinya, posisi Penaung BAM diisi oleh isteri Perdana Menteri namun kali ini, segalanya berubah apabila Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri bersetuju untuk mengisi kekosongan itu.
Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pihaknya sangat berbesar hati apabila Wan Azizah bersetuju untuk menjadi penaung baharu BAM.
“Beliau merupakan seseorang yang mengikuti perkembangan semasa sukan ini dan sudah pasti beliau akan melibatkan diri secara langsung dengan sukan ini, sama seperti penaung-penaung terdahulu.
“Kami gembira untuk mendengar pandangannya dan bekerjasama untuk terus memajukan sukan ini pada masa akan datang.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita yang baharu, Wan Azizah cukup dikenali dengan sikap positif selain sentiasa bekerja keras dan kami berharap kehadiran beliau akan menaikkan semangat dalam kalangan pemain, jurulatih dan barisan pegawai BAM,” katanya selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara, di sini hari ini.











