KEMAMAN 20 Sept. -Seorang pengurus ladang di sini ditahan reman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes menerima suapan berjumlah RM27,500 daripada seorang pembekal peralatan dan jentera.
Perintah itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Majistret/Sesyen, Badrul Munir Mohd Hamdy pagi ini sebelum suspek yang ditangkap semalam dibawa ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini untuk siasatan lanjut.
Suspek yang berusia 54 tahun dipercayai menerima suapan daripada seorang pemilik syarikat perkakasan menerusi akaunnya sebagai dorongan untuk meneruskan kerja-kerja pembekalan peralatan.
Menurut sumber, kesalahan itu dipercayai dilakukan antara bulan Julai hingga Disember 2015.
Semalam, pemilik syarikat berusia 36 tahun yang ditahan petang kemarin direman selama lima hari bagi membantu siasatan dibawah seksyen 16(a)(a) Akta SPRM 2009.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kemaman, Masni Hajar Ghazali.-UTUSAN ONLINE











