IPOH 20 Sept. – Selepas Selangor dan Kuala Lumpur, dua lelaki direkodkan maut di negeri ini dengan tiga lagi dimasukkan ke hospital selepas dipercayai keracunan metanol setelah mengambil minuman beralkohol.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah hospital swasta di sini manakala lelaki berusia 50 tahun pula meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Katanya, dua lagi lelaki masing-masing berusia 41 dan 53 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB manakala seorang lagi pesakit berusia 35 tahun pula dilaporkan stabil.
“Jabatan Kesihatan negeri telah menerima laporan mengenai lima kes disyaki keracunan metanol sejak semalam dengan kesemua kes adalah melibatkan lelaki warga tempatan.
“Sebanyak tiga kes dimasukkan ke HRPB dengan dua kes memerlukan rawatan dan satu lagi stabil. Kematian pertama di hospital swasta pada awal pagi Isnin lalu dan yang kedua keesokkan harinya,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati, kesemua mangsa tersebut mengalami beberapa gejala keracunan termasuk kabur penglihatan, loya, muntah, sesak nafas, sakit perut dan sakit badan.
Katanya, gejala itu dipercayai berlaku selepas meminum arak jenis Grand Royal dan bir Kingfisher buatan India yang disyaki dibeli di Bercham dan Tanjung Rambutan.
“Kita menjangkakan angka mereka yang terlibat dalam kes ini akan meningkat antara 20 hingga ke 30 kes. Orang ramai yang menghidap gejala keracunan metanol ini diminta segera mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.- UTUSAN ONLINE











