SHAH ALAM – Empat pegawai tertinggi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan menerima suapan dalam bentuk percutian ke luar negara berjumlah RM10,000 tiga tahun lalu
Mereka yang direman merupakan Timbalan Pengurus Besar Nafas dan tiga pengurus jabatan pertubuhan berkenaan. Kesemuanya berumur dalam lingkungan antara 36 hingga 48 tahun.
Perintah tahanan reman dikeluarkan Majistret Khairul Nizam Abu Bakar selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Sumber berkata, keempat-empat lelaki berkenaan ditahan antara pukul 5.45 petang hingga 9 malam semalam di pejabat SPRM di Putrajaya dan Shah Alam selepas hadir memberi keterangan.
Katanya, kesemuanya ditahan bagi membantu siasatan selepas dipercayai menerima suapan dalam bentuk percutian ke Jakarta, Indonesia berjumlah RM10,000 sebagai balasan meluluskan projek perkhidmatan penghantaran jentera ke Indonesia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun. – K! ONLINE











