IPOH – Dua lelaki disahkan maut manakala tiga lagi sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini selepas dipercayai mengalami simptom keracunan methanol selepas meminum arak.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri, A. Sivanesan berkata, kematian pertama melibatkan seorang lelaki berusia 39 tahun di sebuah hospital swasta di sini Isnin lalu manakala seorang lagi yang berusia 50 tahun maut semasa dalam perjalanan ke HRPB kelmarin.
Katanya, dua lelaki masing-masing berusia 41 dan 53 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB manakala seorang lagi pesakit berusia 35 tahun pula dilaporkan stabil.
“Jabatan Kesihatan negeri telah menerima laporan mengenai lima kes disyaki keracunan methanol sejak semalam dengan kesemua kes adalah melibatkan lelaki warga tempatan.
“Sebanyak tiga kes telah dimasukkan ke HRPB dengan dua daripadanya memerlukan rawatan manakala satu kes stabil,” katanya pada sidang akhbar di HRPB di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati kesemua mangsa mengalami simptom keracunan seperti kabur penglihatan, loya, muntah, sesak nafas, sakit perut dan sakit badan.
Katanya, simptom itu dipercayai berlaku selepas mereka meminum arak jenis Grand Royal dan bir Kingfisher buatan India yang dipercayai dibeli di Bercham dan Tanjung Rambutan.
“Saya menjangkakan angka mereka yang terlibat dalam kes ini akan meningkat antara 20 hingga ke 30 kes.
“Orang ramai yang menghidap simptom keracunan methanol ini diminta segera mendapatkan rawatan di hospital,” katanya.- K! ONLINE











