BATU PAHAT 20 Sept. – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menghadiahkan sebuah pesawat jenis Amphibious kepada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Pesawat Lake Renegade LA-270 dihadiahkan baginda sebagai tanda sokongan kepada Program Teknologi Kejuruteraan Aeronautik yang ditawarkan UTHM.
“Saya difahamkan program ijazah sarjana muda ini merupakan yang pertama di Malaysia dan satu-satunya program yang ditawarkan di Asia Tenggara.
“Malah, di seluruh dunia hanya terdapat empat sahaja universiti yang memiliki gabungan program tersebut,” titah Sultan Ibrahim Sempena Ulang Tahun Ke-25 UTHM di sini, sebentar tadi.
Sultan Ibrahim yang juga Canselor UTHM turut bersetuju supaya landasan kapal terbang lama di Tanjung Labuh dibangunkan semula serta dijadikan pusat latihan penerbangan untuk pelajar UTHM. – UTUSAN ONLINE










