MANCHESTER – Penjaga gol No.1 Manchester United, David de Gea mengakui sangat gembira selepas mendapat khabar bahawa pengurusan kelab itu akan menawarkan kontrak baharu jangka panjang kepadanya dalam waktu terdekat.
Penjaga gol Sepanyol itu dikaitkan dengan spekulasi menyertai Real Madrid musim lalu apabila kontraknya berakhir pada musim 2019 tetapi United mempunyai pilihan untuk melanjutkannya semusim lagi.
Pemain berusia 27 tahun yang dibeli dari Atletico Madrid pada 2011 dengan harga £18.9 juta (RM102.79 juta) itu dilaporkan akan menerima tawaran lumayan dari United melalui kontrak lima tahun dengan gaji mingguan sebanyak £350,000 (RM1.92 juta).
“Saya sangat gembira dapat beraksi bersama kelab ini. United adalah pasukan terbaik di dunia dan saya terlalu teruja kerana menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” kata de Gea.
Untuk rekod, de Gea turut dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan United buat kali keempat dan dia juga tersenarai dalam pasukan pilihan Persatuan Pemain Profesional England selepas mempamerkan aksi cemerlang bersama United.
Bagaimanapun, de Gea dikritik hebat selepas kurang menyerlah ketika beraksi bersama pasukan Sepanyol dalam saingan Piala Dunia lalu terutama ketika mencatat keputusan seri 3-3 dengan Portugal.
Namun, kritikan tersebut tidak membuatkan de Gea tertekan, sebaliknya dia mahu memberi fokus kepada kariernya bersama United.
– Agensi











