DENGAN sasaran dua pingat emas, pemain badminton Iraq, Heba Asghar telah mempersiapkan dirinya untuk ke Olimpik Khas tahun depan bagi kategori atlet kurang upaya intelektual.
Atlet yang berusia 23 tahun itu telah memenangi emas pada tahun 2015 di Amerika Syarikat dan juga Greece empat tahun lalu.
Asgshar yang dikategorikan dalam status sindrom Down akan terbang semula bersama bendera Iraq untuk ke Sukan Olimpik Khas Dunia 2019 di Abu Dhabi pada bulan Mac tahun hadapan.
Menyimpan sebuah majalah yang memaparkan kejayaan anak perempuannya itu, ibu Asghar iaitu Souad menyatakan sukan tersebut memberi perubahan kepada anaknya.
“Dia sebenarnya tidak stabil dan agresif dengan ahli keluarganya. Nasib baik anak saya dapat mengatasi kecacatannya itu.
“Dia bekerja keras dan berterima kasih kepada jurulatih. Kini dia menjadi juara dan kami bangga dengannya,” katanya di rumah mereka di Baghdad.
Mengimbau kenangan lalu, pada usia 10 tahun Asghar mula melibatkan diri dalam sukan ping pong dan memenangi pingat perak di Sukan Olimpik Khas Jepun sebelum menyertai sukan badminton.
Lebih membuatkan Asghar teruja ketika menang pingat emas pada tahun 2015 pada sukan Olimpik Khas dia memperoleh gaji bulanan RM RM2,483 daripada Kementerian Belia dan Sukan Iraq. Asghar mempunyai impian untuk mendapatkan lebih banyak pingat.
Aktif
Di dewan sukan atlet kurang upaya di ibu negara Iraq, kelihatan Dhai Wadi yang berusia 17 tahun turut bersiap untuk sukan Olimpik 2019 nanti.
Pada Olimpik Khas serantau terakhir pada bulan Mac lalu, yang diadakan di ibu negara Emiriyah Arab Bersatu, Dhai yang juga sindrom Down itu memenangi emas dalam pecut 25 meter dan perak dalam acara pecut 50 meter.
“Ketika Dhai berumur tiga tahun, dia aktif berenang tetapi akhirnya dia mengetahui bakatnya dalam larian pecut.
“Kami harap dia akan menang pingat yang sama dalam sukan bertaraf dunia itu dan saya akan melakukan apa sahaja untuk dia mencapai cita-ciatnya,” ujar bapanya Ali.
Lelaki berusia 60 tahun itu telah bersara dan kini menjaga anak perempuannya yang bersekolah di sekolah jenis kebangsaan.
“Tidak seperti kebanyakan negara lain, golongan muda OKU dijaga, malah tiada apa yang disediakan untuk mereka,” katanya.
Dalam pada itu, ayah Asgar turut meluahkan perkara yang sama.
Tidak ada angka rasmi jumlah mereka yang menghidap sindrom Down di Iraq. Bagaimanapun, atlet Iraq pulang dengan jumlah 52 pingat di Sukan Olimpik serantau tahun ini yang mengumpulkan pesaing dari 31 buah negara.
Selain badminton, sukan yang turut memenangi pingat ialah renang, bola keranjang, olahraga dan boling padang.
Essam al-Khafaji yang menguruskan pasukan Iraq berkata, para atlet bertekad untuk belajar dan melangkaui kecacatan mereka.
Katanya, selepas menjalani latihan seperti orang normal, keyakinan mereka lebih terserlah. Antara atletnya tersebut termasuklah Ali, 24, yang telah menjalani pembedahan jantung sebanyak dua kali. Dia yang juga tinggal di Baghdad telah memenangi pingat emas pada pertandingan khas bulan lalu dalam sukan boling padang.
Dipinggirkan
Ali mensasarkan untuk memperoleh kejayaan baharu buat dirinya di Sukan Olimpik Khas 2019 yang disertai oleh 7,000 atlet dari 177 buah negara.
“Ibu dan ayah saya banyak membantu,” katanya. Di sebalik kejayaan pingat yang diperoleh, ibu Asghar berkata, cabaran terbesar buat OKU di Iraq ialah mereka selalu dipinggirkan sehinggakan kehidupan masa seharian hanya di rumah.
“Ada juga orang golongan muda yang membantu tetapi malangnya terdapat segelintir yang menolok golongan seperti ini.
“Contohnya, jika saya berjalan keluar dengan Heba ada orang awam yang nampaknya lari. Seolah-olah takut dengannya.
“Kadangkala Heba menangis seorang diri, namun saya tetap memberi semangat dan beritahu kepadanya yang dia adalah seorang juara,” jelasnya. Kajian menunjukkan majoriti penduduk Iraq menentang kanak-kanak yang mengalami sindrom Down menghadiri sekolah jenis kebangsaan. – AFP











