Maut dibelasah adik ipar dengan penyapu - Utusan Malaysia

Maut dibelasah adik ipar dengan penyapu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 19 Sept. – Hanya kerana mengejutkan adik iparnya daripada tidur dan menghalau lelaki itu dari rumah, seorang lelaki menerima padah apabila maut dibelasah dengan batang penyapu di rumah mereka di Jalan Menglembu Timur 4 di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.15 pagi itu, mangsa, L. Tirumal (gambar), 62, maut di tempat kejadian selepas cedera teruk di bahagian muka dan badan.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, suspek berusia 69 tahun yang merupakan adik ipar mangsa itu telah tinggal bersamanya sejak sebulan lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, sejak itu ke­dua-dua lelaki tersebut sering berselisih faham sehinggalah terjadi pergaduhan yang menyebabkan kematian mangsa.

“Kejadian pada awal pagi itu dikatakan bermula setelah mangsa mengejutkan adik iparnya daripada tidur dan menghalau keluar lelaki itu dari rumahnya.

“Ini menyebabkan berlaku pergaduhan antara mereka sebelum suspek disyaki memukul mangsa dengan menggunakan batang penyapu sehingga patah di depan dan belakang badan serta seluruh muka,” katanya.

Mohd. Ali memberitahu, semakan terhadap suspek mendapati lelaki itu mempunyai rekod lampau bersabit kes memiliki barang curi selain pernah ditahan di Hospital Bahagia Tanjung Rambutan pada tahun 90-an.

Ujarnya, mangsa juga dikesan mempunyai enam rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini