BAHAYA hutang yang dimaksudkan bagi manusia di dunia ini adalah berhutang wang ringgit sama ada dengan seseorang mahupun dengan agensi yang tidak berdaftar dengan sah. Namun begitu, pinjaman peribadi dengan bank atau koperasi pinjaman yang berdaftar adalah berbeza dalam keadaan ini. Ini kerana, ia mempunyai perjanjian yang ditandatangani dan dipersetujui oleh peminjam bersama dengan pihak yang memberi pinjaman berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan termasuklah tempoh bayaran yang dilakukan secara bulanan atau sebagainya.
Adalah penting dalam setiap urusan kita, terutama yang melibatkan perjanjian pinjaman atau pembelian perlu mempunyai bukti bertulis sebagai rujukan dan peringatan untuk kita bersama. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu bermuamalah tidak secara tunai waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menulisnya.” (Surah al-Baqarah : 282)
Mutakhir ini, banyak kes yang dikongsikan di media sosial berkaitan hutang ini. Apa yang menariknya, banyak kes kini menceritakan bagaimana pemberi pinjam semakin segan dan buntu untuk meminta wang kepada peminjam sehingga berulang kali. Yang cukup menghairankan apabila si peminjam langsung tidak ada rasa bersalah atau malu apabila berulang kali diminta untuk menjelaskan hutangnya.
Malah, ada dalam kalangan mereka yang tidak malu terus meminjam dan menambahkan hutang sedangkan langsung tidak berusaha melunaskan hutangnya terdahulu.
Perkara ini cukup membimbangkan terutama kepada umat Islam khususnya kerana menurut sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: ”Jiwa seseorang mukmin itu tergantung-gantung dengan sebab hutangnya, hinggalah dibayar hutang itu.”
Sehubungan itu, seseorang yang berhutang hendaklah bersungguh-sungguh melunaskan hutang kerana hutang wajib dibayar. Jika kerap dan sengaja menunda atau melewatkan pembayaran hutang, akan termasuk dalam golongan yang zalim kerana ini adalah perbuatan yang dilarang.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ”Penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman.” Oleh itu, menjelaskan atau melangsaikan segala hutang terutamanya melibatkan wang adalah wajib bagi setiap Islam melainkan seseorang itu dengan ikhlas menghalalkan wang yang dipinjamkan.
Sebagai kesimpulan, dalam keadaan terdesak dan rumit, Islam memberikan jalan keluar kepada setiap permasalahan yang berlaku ini dengan pelbagai cara serta kaedahnya tersendiri. Namun, ia seharusnya berlandaskan adab serta peraturan yang ditetapkan dan dibenarkan oleh syarak.
Tidak kira sama ada mereka yang berhutang atau mereka yang memberi hutang, kedua-duanya sebenarnya tidak terlepas daripada penilaian neraca Allah SWT di hari kemudian kelak. Apa yang pasti, setiap amal kebaikan akan dibalas dengan pahala oleh Allah SWT. Begitulah sebaliknya, jika amalan keburukan yang dipilih maka azab dan balasan buruk menanti mereka.
PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor.










