KUALA LUMPUR 19 Sept. – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) berjaya menyelesaikan dan menutup 99.4 peratus daripada 858 aduan yang diterima sepanjang tempoh enam bulan tahun ini.
Daripada jumlah itu, 53 peratus aduan yang diselesaikan melibatkan pertukaran arah bagi penyelesaian yang disediakan oleh syarikat penerbangan yang kemudiannya memihak kepada pengguna.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Dr. Nungsari Ahmad Radhi berkata, pihaknya mendapati terdapat peningkatan sebanyak 38.1 peratus bagi aduan yang diterima daripada pengguna sepanjang tempoh enam bulan pertama bermula bagi tempoh Januari sehingga Jun 2018 berbanding dengan laporan sebelumnya iaitu Julai hingga Disember 2017.
“Walaupun tugas kami adalah untuk mengawal selia aspek ekonomi sektor penerbangan, satu daripada mandat utama Mavcom adalah untuk melindungi kepentingan pengguna.
“Selaras dengan ini, kami gembira dengan peningkatan yang ketara dalam tahap kesedaran pengguna yang dibuktikan dengan peningkatan aduan yang diterima. Kami akan terus memastikan aduan pengguna ditangani, diselesaikan dan ditutup dengan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Isu keempat Laporan Pengguna Mavcom itu memberi gambaran terperinci tentang jenis serta kekerapan aduan oleh pengguna yang berkaitan dengan kedua-dua syarikat penerbangan dan lapangan terbang yang beroperasi dalam sektor tersebut.
Menurut laporan itu, Malaysia Airlines mewakili 49.8 peratus daripada jumlah aduan keseluruhan yang diterima dalam tempoh setengah tahun iaitu peningkatan sebanyak 34.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.
AirAsia mencatatkan 22.4 peratus daripada aduan yang menunjukkan kenaikan 58.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala Malindo Air mencatatkan 13.9 peratus daripada aduan yang menyaksikan peningkatan signifikan sebanyak 12.3 peratus.
Secara purata, Mavcom menerima sebanyak 20 aduan bagi setiap sejuta penumpang sepanjang tempoh enam bulan tersebut.
Berbanding tempoh sama bagi tahun lalu, terdapat peningkatan bagi hampir kesemua kategori aduan dengan tiga kategori aduan tertinggi adalah bagi aduan berkenaan kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi, pemprosesan bayaran balik dan penundaan penerbangan.
Bilangan aduan yang diterima bagi ketiga-tiga kategori itu meningkat sebanyak 57.4 peratus.











