IPOH 19 Sept. – Jalan tutup, pelanggan kurang. Itu antara keluhan peniaga medan selera di Stadium Perak di sini mengenai kehadiran pelanggan di kedai mereka sepanjang Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 berlangsung.
Seorang peniaga, Normah Abu Bakar, 50, berkata, sehari sebelum pembukaan temasya itu, keadaan di medan selera agak lengang kerana pelanggan tidak dapat datang ke kedai ekoran beberapa jalan ditutup.
Katanya, keadaan itu menyebabkan terdapat peniaga mengalami kerugian apabila barang jualan mereka terpaksa dibuang begitu sahaja.
“Isnin dan Selasa lepas memang sunyi sebab pelanggan susah masuk (jalan tutup). Hanya pada petang Selasa sahaja medan selera ini kembali meriah kerana ada majlis pembukaan pada sebelah malam.
“Kami hanya harapkan orang baharu seperti atlet dan sukarelawan. Itu pun bukan semuanya makan di sini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya, keadaan itu bagaimanapun tidaklah terlalu menjejaskan perniagaannya kerana masih mengaut keuntungan walaupun sedikit.
“Mahu kata untung banyak sangat pun tidak, rugi pun tidak. Jika hari biasa saya biasa masak empat ke lima ekor ayam, semasa Sukma saya masak 10 ekor ayam.
“Saya rasa jika jalan tidak ditutup, mungkin akan lebih banyak untung dan kami tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya yang telah berniaga di situ sejak 23 tahun lalu.
Bagi Baharuddin Aziz, 54, pada empat hari terawal temasya itu berlangsung, kehadiran pelanggan di medan selera tersebut berkurangan kira-kira 20 peratus.
“Bermula Sabtu lalu keadaan kembali pulih, jika tidak lebih teruk (jualan) daripada hari biasa kerana jalan tutup. Bagi mereka yang berkeluarga, sukar untuk berjalan jauh.
“Apa pun, bolehlah buat untung sikit. Jika hari biasa saya masak 30 kilogram kuetiau, semasa Sukma bertambah kepada 50 kilogram,” katanya yang mengakui penganjuran program di Stadium Perak membantu menambah pendapatan peniaga setempat.
Sementara itu, Muhamad Zaky Effendy, 25, mengakui meraih keuntungan semasa Sukma berlangsung namun keadaan banyak jalan yang ditutup menyebabkan pelanggan tetapnya tidak dapat datang ke medan selera itu.
“Adalah untung sikit, tidaklah banyak sangat. Pada tiga hari pertama, hanya lepas modal dan gaji sahaja. Itu pun harap kepada pelanggan baharu,” katanya.











