Rompak wanita di tepi jalan, jaga dijel, sebat - Utusan Malaysia

Rompak wanita di tepi jalan, jaga dijel, sebat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 19 Sept. – Helah seorang pengawal keselamatan yang berpura-pura ingin membantu seorang wanita yang keretanya tersadai di tepi jalan sebelum merompak mangsa, Mac lalu akhirnya memakan diri apabila dia hari ini dihukum penjara sembilan tahun dan sebatan sekali oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Dalam kejadian itu, mangsa, Aryaty Ibrahim, 40, bersama anak lelakinya berusia lima tahun terpaksa memberhentikan keretanya di tepi jalan kerana suhu kereta yang naik.

Wanita itu kemudian didatangi seorang lelaki menaiki kereta yang kononnya ingin membantu dan telah menawarkan diri untuk memandu kereta mangsa ke bengkel.

Memuatkan artikel berkaitan…


Namun, ketika dalam perjalanan ke bengkel, mangsa telah diarah keluar dari kereta yang diberhentikan oleh lelaki berkenaan yang kemudian bertindak mencekik serta merentap rantai di leher mangsa sebelum mengambil barangan lain milik wanita itu.

Pada prosiding hari ini, Johar Mohd. Yusof, 44, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan melakukan rompak berkumpulan ke atas Aryaty di kawasan perniagaan di Jalan PJS 3/32 di sini kira-kira pukul 1 petang, 31 Mac lalu.


Tertuduh didakwa merompak seutas jam tangan, sehelai baju kemeja, seutas rantai leher, sepasang cermin mata, seutas gelang tangan, seunit telefon bimbit jenama Asus dan wang tunai RM400.


Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.


Johar yang tidak diwakili peguam terdahulu merayu hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap dengan alasan dia perlu menanggung keluarga dan ibu yang uzur.


Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim memohon hukuman setimpal memandangkan ketika kejadian mangsa bersama seorang anak kecil dan kejadian tersebut telah meninggalkan trauma terhadap mangsa.


“Oleh itu, saya mohon hukuman berat yang hanya sesuai dengan fakta kes. Ambil kira trauma mangsa dan anak. Cara kesalahan yang dilakukan dan jumlah kerugian. Hanya hukuman yang setimpal dapat beri pengajaran kepada tertuduh,” katanya.

Hakim Azwarnida Affandi memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini