KANGAR 19 Sept. – Kerajaan negeri akan membantu membaiki rumah dan menyediakan kemudahan lain kepada kira-kira 160 mangsa yang terjejas dalam kejadian ribut di Perlis, kelmarin.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya dengan kerjsama agensi-agensi berkaitan sedang mengenalpasti dan membanci sejauh mana kerosakan rumah mangsa terlibat.
Bagaimanapun katanya, mana-mana keluarga yang kediaman mereka tidak mengalami kerosakan serius diharap tidak bergantung kepada kerajaan negeri untuk membaikinya.
“Kita akan bantu keluarga yang terkesan dengan ribut ini. Difahamkan lebih 160 buah rumah terkesan dengan bencana tersebut,” katanya ketika ditemui selepas
menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di dewan orang ramai Taman Kemajuan, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar menyampaikan sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 42 mangsa di kawasan Indera Kayangan.
Ribut dan hujan lebat yang melanda negeri ini malam Isnin lalu, menyaksikan sebanyak 160 rumah dan 38 buah sekolah terjejas teruk selain melibatkan beberapa kemalangan yang meragut empat nyawa.
Angin dengan kelajuan kira-kira 68.7 kilometer sejam itu bertiup kencang selama 30 minit bermula kira-kira pukul 10 malam.
Sementara itu, Azlan berkata, Kerajaan Pusat dijangka menyampaikan bantuan kepada mangsa ribut tersebut dalam masa terdekat ini.
“Saya ada mengadakan perbincangan dengan pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan difahamkan akan bentuk bantuan daripada kerajaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE











