Dinamik politik melangkaui kisah pantun angkut-angkut - Utusan Malaysia

Dinamik politik melangkaui kisah pantun angkut-angkut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA orang politik bercakap soal kesetiaan, pantun empat kerat yang cukup ikonik ini memang tidak boleh dipisahkan:

Angkut-Angkut terbang ke langit,
Sampai di langit dimakan merbah,
Biar tertangkup bumi dengan langit,
Setia saya takkan berubah
.

Namun hakikatnya, politik dan kesetiaan lebih mirip kepada situasi minyak dan air iaitu keduanya harus terpisah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bukan sahaja ideologi sekular atau nasionalis, malah parti berasaskan Islam juga tidak dapat lari daripada berdepan persimpangan kesetiaan pemimpin serta ahli.

Bukan salah mereka yang beralih haluan kerana politik itu secara jujurnya adalah dinamik, yakni tidak tetap sifatnya dan sentiasa berubah. Malah dasar parti juga tidak terkecuali.

Kenapa berubah tentunya disebabkan perjalanan untuk mencapai matlamat juga bukan mudah kerana semua yang berada dalam gelanggang mempunyai mimpi yang sama iaitu teringin naik gajah.

Sebab itu, dalam kamus politik, banyak ungkapan bagi mewajarkan atau senang cakap, ‘menghalalkan’ perubahan dan antaranya yang popular ialah ‘politik seni serba kemungkinan’.

Tokoh terkenal Barat seperti bekas Perdana Menteri Britain, Winston Churchill ketika mahu merasionalkan kerjasama dengan Soviet Union yang berada dalam blok komunis ketika Perang Dunia Kedua pernah berkata, ‘musuh kepada musuh saya adalah kawan saya’.

Namun dalam ribuan ungkapan yang pernah keluar dari pemimpin hebat dunia, ‘matlamat menghalalkan cara’ yang diperkenalkan Machiavelli tentunya lebih mudah difahami kerana jujur serta berterus terang bagaimana hendak mencapai atau mengekalkan kuasa.

Jadi, kepada mereka yang tidak berada dalam gelanggang politik, jangan geleng kepala lebih-lebih terhadap senario politik sekarang, cukuplah sekadar perhati dan lihat, biarkan saja mereka. Lebih baik pelihara ukhuwah daripada berbalah kerana mereka.

Dan jika terdengar lagi pantun mengenai ‘angkut-angkut’ ini, senyumlah kerana ini halwa telinga buat mengindahkan ucapan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini