Tergamak rogol adik kandung, lelaki dipenjara 22 tahun, tiga sebatan - Utusan Malaysia

Tergamak rogol adik kandung, lelaki dipenjara 22 tahun, tiga sebatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN – Akibat terlalu mengikut nafsu sehingga tergamak merogol adik kandungnya yang berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Sungai Barie Serian, seorang pekerja buruh binaan akhirnya menerima pembalasan apabila dihukum penjara 22 tahun serta tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Afidah Abdul Rahman menjatuhkan hukuman tersebut setelah lelaki berusia 23 tahun itu didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan sumbang mahram iaitu gangguan seksual fizikal dan bersetubuh dengan mangsa.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh telah melakukan gangguan seksual fizikal terhadap adiknya dengan meraba dan menciumnya kira-kira pukul 1 pagi pada 7 September lalu yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Memuatkan artikel berkaitan…

Manakala, bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan sumbang mahram ke atas mangsa pada waktu dan hari yang sama di bawah Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan.

Pertuduhan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Najihah Tengku Zahari, manakala tertuduh tidak diwakili oleh peguam.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek selepas menerima laporan daripada emak angkat mangsa pada 10 September lalu.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, mangsa mendakwa telah diajak oleh abangnya untuk menonton televisyen di ruang tamu rumah di kampung berkenaan.

“Bagaimanapun, apabila adiknya sudah tidur di ruang tamu tersebut, suspek telah mencium dan meraba sebelum merogol mangsa.

“Selepas melakukan perbuatan terkutuk itu, suspek kemudian mengugut mencederakan adiknya sekiranya dia menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini