Dakwaan bahawa Azlan, tujuh wakil rakyat UMNO Perlis keluar parti tidak berasas - Utusan Malaysia

Dakwaan bahawa Azlan, tujuh wakil rakyat UMNO Perlis keluar parti tidak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 19 Sept. – Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau dan tujuh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri ini akan keluar parti dan menyertai Pakatan Harapan.

Katanya, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan beliau sentiasa berjuang bersama UMNO dan sama sekali tidak akan mengikut jejak langkah Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman yang meninggalkan parti.

“Saya tidak pernah berbincang dengan wakil-wakil rakyat lain untuk meninggalkan UMNO. Ini adalah tuduhan dan spekulasi liar.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya masih di dalam UMNO dan kerajaan yang didukung oleh BN di negeri ini. Saya juga tidak faham bagaimana dakwaan seperti ini boleh timbul,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut di dewan orang ramai Taman Kemajuan di sini, hari ini.

Terdahulu tular bahawa Azlan yang juga Ketua UMNO Bahagian Kangar bersama tujuh wakil rakyat akan mengumumkan keluar daripada parti itu dalam masa terdekat.

Dalam masa sama, turut tular 17 nama Ahli Parlimen UMNO yang dikatakan bakal keluar parti untuk menyertai Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan berkaitan, Azlan berkata, tindakan Mustapa dan Anifah yang keluar UMNO adalah keputusan mereka sendiri yang perlu dihormati.

Katanya, kedua-dua pemimpin tersebut sudah pastinya sudah membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuat keputusan.

“Meskipun mereka keluar UMNO namun masih ramai lagi yang setia dan kekal dengan parti. Saya percaya UMNO merupakan satu wadah yang masih boleh diperkukuhkan lagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini