Warga emas maut dipukul adik ipar - Utusan Malaysia

Warga emas maut dipukul adik ipar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Seorang lelaki warga emas ditemui maut selepas dipukul dengan sebatang penyapu oleh adik iparnya di rumah mereka di Jalan Menglembu Timur 4 di sini awal pagi tadi.

Kejadian pada pukul 2.36 pagi itu, mangsa,  L.Tirumal, 62, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan teruk pada bahagian muka dan anggota badannya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dan suspek yang berusia 69 tahun tinggal di rumah tersebut sejak sebulan lalu dan mereka sering berselisih faham.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jelasnya, pergaduhan antara mereka berpunca apabila Tirumal dipercayai mengejut adik iparnya yang sedang tidur dan menghalau lelaki itu keluar dari rumah tersebut.

“Insiden itu menyebabkan mereka telah bergaduh dan suspek dipercayai telah memukul mangsa dengan batang penyapu di depan, belakang badan dan seluruh mukanya sehingga peralatan itu patah.

“Pemeriksaan terhadap mangsa mendapati terdapat kesan pukulan di bahagian belakang iaitu di atas punggung sehingga ke belakang badan yang disyaki dipukul menggunakan batang penyapu dan payung,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online hari ini.

Menurut Mohd. Ali, selain itu, pergaduhan dua lelaki turut menyebabkan bahagian muka mangsa iaitu pipi kanan dan kiri serta kelopak mata kirinya cedera.

Ujarnya, pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak telah mengambil beberapa sampel barang kes dan darah di kedua-dua tangan suspek untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, semakan mendapati, suspek juga mempunyai rekod lampau kes memiliki barang curi dan pernah ditahan untuk rawatan di Hospital Tanjung Rambutan sekitar tahun 1990-an. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini