KUALA LUMPUR – Polis Sentul menerima sebanyak empat laporan kematian melibatkan dua lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing di beberapa lokasi sekitar ibu negara selepas dipercayai meminum minuman keras yang dibeli di sebuah kedai di Batu 3, Jalan Ipoh, di sini pada 14 September lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R.Munusamy berkata, laporan kematian pertama yang diterima berhubung kejadian tersebut membabitkan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun di PPR Taman Wahyu, Kepong, di sini.
“Anak lelaki mangsa mendakwa bapanya itu tidak sedarkan diri kira-kira pukul 1 petang sebelum membawanya ke Hospital Selayang namun mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5 petang hari yang sama sewaktu sedang mendapatkan rawatan.
“Kejadian kedua pula melibatkan seorang lelaki berusia 56 tahun yang terjatuh dan mengalami kekejangan di pondok pengawal di kawasan kediamannya juga di PPR Taman Wahyu, kira-kira pukul 5.20 petang sebelum disahkan meninggal dunia pada hari sama ketika menerima rawatan di hospital berkenaan, ” katanya ketika ditemui, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang akhbar selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Khas di IPD Sentul di sini.
Menurut Munusamy, kira-kira 7.50 malam, seorang lelaki warga Myanmar telah ditemui oleh rakannya dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai telah meninggal dunia di rumah mereka di Jalan Development, Taman Kepong, di sini.
“Kes terakhir pula berlaku di Jalan Metro Perdana kira-kira pukul 11 malam apabila seorang lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun ditemui dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia, ” katanya.
Munusamy berkata, Pejabat Kesihatan telah melakukan serbuan ke atas premis di Batu 3 tersebut dan telah merampas tiga botol minuman keras untuk menjalankan ujian analisa.
“Hasil analisis yang dilakukan mendapati minuman keras tersebut mengandungi bahan metanol yang boleh membahayakan nyawa manusia.
“Kes kematian tersebut pada mulanya diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR) namun kini ia disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sentul,” ujar beliau.
Tambah Munusamy, susulan daripada hasil analisis tersebut, pihaknya telah membuat serbuan di sebuah premis menjual minuman keras di Jalan Selingsing 4, Taman Sri Kuching, di sini kira-kira pukul 11.15 pagi tadi dan merampas sejumlah arak serta menahan dua lelaki. – K! ONLINE











