SHAH ALAM – Dua lagi mangsa maut dipercayai akibat keracunan selepas meminum arak menjadikan jumlah keseluruhan 17 kematian di Selangor sehingga kini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, seramai 24 mangsa masih dirawat di beberapa buah hospital di negeri ini manakala sembilan lagi telah dibenarkan keluar hospital.
Katanya, kesemua mangsa dikesan tinggal dan bekerja di tiga kawasan iaitu di Taman Daya, Desa Jaya Gombak; sekitar Kampung Baru, Sungai Buloh dan Nirwana Memorial Park Semenyih dekat sini.
“Sehingga kini, sebanyak 12 serbuan dan 7 tangkapan telah dibuat membabitkan lima lelaki dan dua wanita berusia dalam lingkungan 40-an.
“Kita telah merampas sebanyak 1,030 botol wiski pelbagai jenama termasuk Grand Royal Wiski dan Mandalay Wiski dan 1,767 tin arak pelbagai jenama termasuk Volcano dan King Fisher. Tangkapan dan rampasan dibuay dibawah Seksyen 135 Akta Kastam,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, ekoran daripada kejadian keracunan ini, pihak polis telah mengklasifikasikan semula kes dibawah Seksyen 304 (b)Kanun Keseksaan iaitu mematikan orang dengan salah yang tidak terjumlah kepada membunuh orang.
Katanya, sehingga kini sebanyak 17 kertas siasatan telah dibuka bagi kes ini. – K! ONLINE











