SHAH ALAM – Seramai 300,000 pesakit katarak baharu dilaporkan setiap tahun di negara ini dan ia menjadi penyumbang kepada masalah buta.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakkan pesakit adalah terdiri daripada mereka berusia 50 tahun ke atas.
Katanya, penyakit katarak menyumbang kepada 51 peratus masalah buta di seluruh dunia.
“Kapasiti untuk melaksanakan pembedahan katarak hanya pada kadar satu pertiga daripada 300,000 pesakit baharu.
“Pembedahan akan mengambil masa sekurang-kurangnya 15 hingga 20 minit,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Hasil Pembedahan Katarak Pasifik Barat di Hospital Shah Alam di sini hari ini.
Menurut beliau, berdasarkan rekod sebanyak 43,000 pembedahan katarak telah berjaya dijalankan di hospital kerajaan pada tahun lalu dengan caj pembedahan dikenakan hanya RM103 bagi setiap pesakit.
Ujarnya, komplikasi daripada hasil pembedahan dan sistem pemantauan yang dijalankan pihaknya terhadap pesakit mendapati kurang daripada 0.2 peratus.
“Kementerian Kesihatan juga telah memperluaskan kerjasama bersama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan sebuah hospital daerah di Jitra, Kedah bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan penyampaian dalam melakukan pembedahan kepada para pesakit baharu ini.
“Perkhidmatan klinik bergerak katarak turut digerakan bagi membantu para pesakit katarak terutama di kawasan pendalaman,” jelasnya. – K! ONLINE











