SEORANG sahabat bertanya kepada saya baru-baru ini apakah Dewan Negara yang kita ada sekarang ini masih relevan atau sudah sampai masanya ia dimansuhkan sahaja?
Bila saya tanya sahabat itu kenapa soalannya itu luar biasa sekali, dia merujuk kepada berita yang menyatakan bahawa pada 12 September lalu, Yang Dipertua Dewan Negara telah mengumumkan bahawa 28 senator telah menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 itu manakala 21 menyokong dan 3 senator berkecuali (memilih tidak mengundi).
Lalu sahabat saya itu menambah “Tidakkah tindakan mereka ini seumpama tidak mempedulikan keputusan majoriti rakyat dalam PRU-14 lalu?”.
Empat bulan lalu, iaitu pada 15 Mei 2018, bekas hakim Datuk Seri Gopal Sri Ram ada berkata bahawa semua senator yang menganggotai dewan itu selama ini sepatutnya meletakkan jawatan untuk memudahkan kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan mandat rakyat.
Di bawah Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan, setiap negeri boleh melantik dua orang senator (menjadikan jumlahnya 26 orang senator) manakala Yang di-Pertuan Agong boleh melantik 44 orang senator (termasuklah dua orang bagi wilayah persekutuan Kuala Lumpur, seorang bagi Labuan dan seorang lagi bagi Putrajaya). Jumlah senator dalam Dewan Negara adalah 70 orang.
Di bawah Perkara 45 Fasal (3), pelantikan setiap senator ini berkuat kuasa selama tiga tahun. Pelantikan ini tidak terkesan dengan pembubaran Dewan Rakyat dan boleh dilanjutkan sepenggal lagi, selama tiga tahun (Fasal 3A) .
Pada 22 Jun lalu, pengamal undang-undang Syahredzan Johan menyatakan bahawa Pakatan Harapan kini menikmati majoriti di Dewan Rakyat tetapi kedudukannya di Dewan Negara adalah sebaliknya. Dewan itu kini masih lagi didominasi BN menerusi 31 senator dan Pas, dua senator berbanding Pakatan (yang hanya ada 11 senator). Dengan kekuatan majoriti mereka ini, kelompok ini boleh melambatkan atau menyusahkan perjalanan Rang Undang-Undang di dewan itu.
Pada tarikh itu (22 Jun), Dewan Negara ada 26 kekosongan. Mengikut Syahredzan, Pakatan Harapan perlu mengambil langkah segera mengisi kekosongan ini.
Sebelum itu, pada 18 Mei 2018, pakar undang-undang Prof. Emeritus Datuk Shad Faruqi ada menyatakan bahawa kumpulan senator pro-BN yang masih kekal di Dewan Negara boleh menghalang perjalanan Rang Undang-Undang di dewan itu, sekali gus mensabotaj usaha Pakatan Harapan melaksanakan pembaharuan undang-undang negara ini. Di bawah undang-undang sedia ada, mereka boleh menghalang Rang Undang-Undang ini selama satu tahun.
Dr. Azmi Sharom dari Universiti Malaya pula tidak setuju dengan cadangan sesetengah pihak agar Dewan Negara dimansuhkan. Beliau berpendapat dewan atasan Parlimen itu masih ada peranannya iaitu selaku pemerhati (watchdog) Dewan Rakyat. Kesanggupannya untuk menyemak dan mengimbang (check and balance) Dewan Rakyat boleh menimbulkan kesan yang positif, iaitu menggalakkan Dewan Rakyat menggubal undang-undang yang lebih baik untuk masa depan negara ini.
Pada masa ini terdapat 68 senator (dan dua kekosongan) dalam dewan atasan Parlimen itu – iaitu 19 dari Pakatan Harapan, 13 dari parti di Sabah Sarawak, Gerakan, Indian Progressive Front, wakil orang upaya, masyarakat Siam, Orang Asli dan kumpulan Hindraf, 33 dari BN (UMNO, MCA and MIC), dan tiga dari Pas. Kesimpulannya, cuma ada 32 senator pro- PH, berbanding 36 pro- pembangkang (BN dan Pas).
Sekalipun semua senator hadir dan mengundi, PH akan tetap kalah. Pada 12 September lalu, hanya 52 orang dari keseluruhan 68 senator dalam dewan itu yang hadir dan mengambil bahagian dalam pengundian (termasuk tiga senator yang enggan mengundi).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (yang juga Menteri Undan-Undang) berasa terkilan dengan tindakan senator yang menolak Rang Undang-Undang untuk memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar itu – menganggapnya sebagai bertentangan dengan kehendak rakyat.
Apakah perkara sama akan berulang sesi Parlimen akan datang?
DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.











