KALAU ditanya, apa harapan saya sempena Hari Malaysia pada tahun ini? Saya akan jawab, saya tak mahu meminta dan mengharapkan yang lebih-lebih daripada setiap rakyat negara ini. Cuma, cukuplah mencuba untuk menjadi seorang rakyat yang baik dan ‘berhati perut’. Itu saja.
Pada saya, kalau semuanya baik, banyak masalah rasanya boleh selesai. Dan kalau ada ‘hati perut’, mereka akan lebih senang untuk memahami dan merasai kesusahan dan kesakitan orang lain.
Baik bukan sahaja kepada manusia. Selain berbuat baik kepada orang sekeliling, baiklah juga kepada makhluk ciptaan Tuhan yang lain. Haiwan contohnya. Jika pun bukan termasuk dalam golongan pencinta haiwan, janganlah dikacau atau disakiti binatang itu.
Tiada sesiapa pun yang akan memaksa anda untuk menjadi orang yang sukakan dan sayangkan haiwan. Itu pilihan sendiri. Tetapi jika tidak suka, biarkan saja binatang itu bergerak bebas. Bukan susah sangat pun.
Sebenarnya, selain kejadian membunuh kucing bunting dalam mesin pengering di sebuah dobi layan diri di Taman Gombak Ria, Gombak baru-baru ini, sudah banyak berlaku pembunuhan haiwan peliharaan termasuk kucing dan anjing di negara ini.
Di media sosial, sudah banyak kali gambar kucing dan anjing diracun jiran tular. Yang dibunuh bukan seekor dua, tetapi sekeluarga haiwan itu! Sebabnya, mungkin tidak tahan dengan bau busuk najis haiwan berkenaan atau haiwan tersebut mengotorkan kawasan rumahnya. Tapi itu sahajakah cara selesai? Bunuh semuanya? Habis cerita?
Itu belum masuk lagi gambar kucing yang dipotong tangan kerana ‘dosa’ mencuri makanan di restoran, video haiwan yang dipijak-pijak dengan kasut tinggi sehingga mati, dilanggar dan lain-lain. Pelakunya pula manusia yang sempurna akalnya. Melakukannya sambil ketawa.
Saya adalah pencinta haiwan. Saya memelihara beberapa ekor kucing di rumah. Bila seekor tiba-tiba hilang atau mati kerana sakit, kesedihannya sama seperti kehilangan ahli keluarga. Ini kerana haiwan itu sudah dianggap bagaikan keluarga sendiri.
Ya betul, negara ini sudah mempunyai undang-undang untuk pembunuh dan penganiaya haiwan. Tetapi berapa ramai yang ‘sangkut’ dengan hukuman tersebut dan berapa banyak pula laporan mengenainya telah dibuat? Saya sarankan, setiap kejadian penganiayaan dan pembunuhan haiwan peliharaan atau jalanan ini dilaporkan terus kepada pihak polis. Jangan sekadar tularkan untuk menagih simpati dan menimbulkan kemarahan orang ramai. Ia tidak akan memberi sebarang makna kepada kebajikan dan keselamatan haiwan ini.
Agama Islam sendiri pun amat memuliakan haiwan dan melaknati pembunuh haiwan. Ada beberapa hadis yang menceritakan betapa berbuat baik kepada haiwan akan mendapat ganjaran syurga dan neraka kepada yang membunuh seperti dalam hadis riwayat al-Bukhari – “Diseksa seorang perempuan (kerana) seekor kucing yang telah dikurungnya sehingga mati kelaparan. Dengan sebab itu, masuklah perempuan itu dalam api neraka.”











