KUALA LUMPUR – Penggunaan tenaga nuklear di negara ini masih terbatas iaitu dalam bidang-bidang seperti perubatan, pertanian dan penyelidikan.
Pakar nuklear negara, Dr. Noor Hasnah Mohamed Khairullah, berkata, tatacara penggunaannya juga dipantau di bawah Akta Pelesenan Tenaga Atom (Akta 304) oleh Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).
Menurut beliau, agensi berkenaan yang ditubuhkan pada tahun 1985 berada di bawah Jabatan Perdana Menteri.
“Ia bagi memastikan penggunaan teknologi nuklear memberi manfaat tanpa memberi kesan.
“Sebagai pengguna, kita juga turut akur kepada peraturan yang disyaratkan pada peringkat antarabangsa seperti yang dikeluarkan oleh Agensi Tenaga Atom Antarabangsa. Malaysia menjadi negara anggota sejak tahun 1969,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.











