SHAH ALAM 18 Sept. – Projek pembinaan Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) dan Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (Suke) dijangka siap pada 2020.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas), Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, kedua-dua lebuh raya itu kini berjalan mengikut jadual dan 30 peratus siap.
“Setakat ini tiada halangan untuk syarikat kami menyiapkannya,” katanya ketika ditemui dalam program Duathlon Lebuh Raya Koridor Guthrie (GCE) 2018 anjuran Prolintas di Plaza Tol Bukit Jelutong, di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, projek Suke dan Dash melibatkan pembinaan laluan sepanjang 24.4 dan 20.1 kilometer dengan menghubungkan beberapa kawasan bandar utama di Lembah Klang.
Katanya, projek itu akan membantu menyuraikan kesesakan trafik di beberapa lebuh raya utama antaranya Lebuh raya Lingkaran Tengah Dua (MRR2), Lebuh raya Duta Ulu Kelang (Duke), Lebuh raya Damansara Puchong (LDP) dan Penchala Link.
“Suke yang menghubungkan Sri Petaling dengan Bukit Antarabangsa dijangka memendekkan perjalanan kepada 25 minit manakala Dash yang menghubungkan Puncak Perdana di Shah Alam dan Penchala Link di Damansara Perdana dapat memendekkan perjalanan kepada 20 minit,” katanya.
Mengenai Duathlon GCE, Mohammad Azlan berkata, acara itu melibatkan disiplin larian dan berbasikal sejauh 60 kilometer yang bermula dan tamat di Plaza Tol Bukit Jelutong itu berjaya menarik penyertaan kira-kira 1,000 orang.
Mohammad Azlan berkata, sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu Full Duathlon, Dash Duathlon, Team Relay dan Fun Ride dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM22,000.











