IPOH – Dua pemain kebangsaan, Tan Jia Wei dan S. Kisona menepati ramalan sebagai pemain pilihan apabila meraih pingat emas Sukma 2018 dalam acara badminton di Arena Badminton Kompleks Sukan Majlis Bandaraya Ipoh semalam.
Tampil selaku pilihan kedua, Jia Wei dari Pulau Pinang tidak berdepan masalah menundukkan pemain Selangor, Aidil Sholeh Ali Sadikin menerusi kemenangan straight set 21-16 dan 21-19 dalam acara lelaki.
Bagi perseorangan wanita pula, Kisona dari Negeri Sembilan menumbangkan pemain Perak, Lee Ying Ying dalam aksi sengit 25-27, 21-18, 21-19.
Menurut Jia Wei, dia berpuas hati dengan kejayaan menyumbang dua emas dalam acara perseorangan dan berpasukan lelaki pada penampilan terakhirnya di pentas Sukma.
“Sebelum ini saya meraih pingat perak pada Sukma (2016) Sarawak dan kali ini saya menebus kekecewaan dan merangkul emas untuk negeri saya.
“Saya tidak menafikan pihak lawan hari ini (semalam) mempunyai taktikal permainan yang bagus. Dia telah berjaya mengalahkan pemain kebangsaan seperti Leong Jun Hao dan mara sehingga final.
“Pemain-pemain negeri yang bertanding pada Sukma kali ini semua bagus dan memberikan saingan hebat kepada kami (pemain kebangsaan),” katanya kepada pemberita semalam.
Dalam pada itu, pingat gangsa bagi acara perseorangan lelaki dikongsi oleh Yeoh Seng Zoe dari Pulau Pinang dan Faiz Rozain (Terengganu) manakala (perseorangan) wanita pula menjadi milik Ng Qi Xuan dari Negeri Sembilan dan Eoon Qi Xuan (Perak).











