Sivarraajh nafi sogok pengundi Parlimen Cameron Highlands - Utusan Malaysia

Sivarraajh nafi sogok pengundi Parlimen Cameron Highlands

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 18 Sept. – Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C. Sivarraajh berkata, beliau tidak pernah memberi sogokan kepada Tok Batin mahupun para pengundi kerana sebagai seorang yang berpendidikan, beliau sedia maklum perbuatan tersebut suatu kesalahan dalam pilihan raya.

Menurut Sivarraajh, semasa berkempen beliau tidak membawa wang dan andaikata berniat melakukan sedemikian (rasuah) sudah semestinya tidak akan dilakukan di khalayak ramai.

“Kebanyakan mereka datang dari jauh untuk bertemu saya. Ketika berkempen ada yang memohon diberikan wang bagi perbelanjaan mereka untuk pulang ke kawasan masing-masing seperti duit minyak dan makan minum serta keperluan penduduk kampung yang mengharapkan bantuan diberikan melalui wakil yang hadir bertemu dengan saya,” ujar beliau.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sivarraajh yang dikatakan memberi rasuah dan mengancam pengundi di kawasan itu pada 28 dan 30 April dan 6 dan 7 Mei lalu menafikan dakwaan terhadapnya yang terkandung dalam petisyen pilihan raya dikemukakan oleh calon PKR, M. Manogaran selaku pihak pempetisyen di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini.

Manogaran memfailkan petisyen pilihan raya pada 4 Jun lalu dengan menamakan Sivarraajh sebagai pihak responden bagi mencabar keputusan pilihan raya kawasan itu pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu atas dakwaan Tok Batin bahawa masyarakat Orang Asli diberi ‘duit rokok’ sebagai rasuah.

Sivarraajh, 42, yang memenangi kerusi itu dengan majoriti 597 undi sedang memberikan keterangan di hadapan Hakim Datuk Azizah Nawawi.

Manogaran mendakwa, Sivarraajh dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menjalankan kempen bersama.

Beliau yang merupakan Ketua Pemuda MIC mendakwa, sebanyak 20 peratus daripada jumlah pengundi adalah masyarakat Orang Asli yang tinggal di sembilan pos dan beberapa kampung di sana.

Manogaran menyatakan, pengundi masyarakat Orang Asli mudah terpengaruh dan berada di bawah penguasaan responden sebagai calon BN.

Beliau yang juga seorang peguam mendakwa, telah melakukan pelbagai aktiviti sejak lima tahun lalu di kawasan itu dan masyarakat Orang Asli sendiri memberi jaminan dan komitmen bahawa mereka akan mengundinya.

Manogaran sebagai pihak pempetisyen mendakwa, masyarakat Orang Asli menukar undi mereka akibat perbuatan rasuah pihak responden.

Beliau mendakwa responden dan Wan Rosdy bertemu serta memberi rasuah antara RM30 dan RM1,000 kepada Tok Batin bagi memastikan mereka menyokong BN.

Wan Rosdy dikatakan memberi wang RM200 kepada Tok Batin yang hadir sebagai ‘duit rokok’.

Wan Rosdy juga didakwa memberi rasuah kepada mereka dengan alat muzik dan mengugut akan memberhentikan peruntukan kerajaan yang diberikan kepada Orang Asli sebagai dorongan mengundi BN.

Semua perbuatan itu didakwa bertentangan dengan Seksyen 9 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Manogaran sehubungan itu memohon kemenangan Sivarraajh dibatalkan.

Terdahulunya, Sivarraajh mengatakan, cara beliau berkempen menaiki sebuah helikopter, bukannya suatu isu memandangkan semasa BN berkempen memang menaiki helikopter yang disediakan oleh BN pusat.

Ini kerana, kawasan Parlimen tersebut terlalu besar dan melibatkan kawasan pedalaman serta terpencil yang sukar dimasuki memandangkan tiada kemudahan jalan yang elok.

Perbicaraan bersambung esok.

Sivarraajh diwakili peguam Datuk Mohd. Hafarizam Harun sementara pihak pempetisyen diwakili peguam, Datuk V. Manokaran. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini