TELUK INTAN – Seorang pesara guru agama sentiasa mengenangkan nasib dan masa depan keluarga apabila hidup susah ibarat ‘jatuh ditimpa tangga’.
Demikian kesulitan yang dihadapi Shahidin Kassim, 80, apabila sentiasa memikirkan masalah kewangan bagi menampung kehidupan seharian lebih-lebih lagi isterinya, Arbainah Hussin, 60, yang merupakan pesakit darah tinggi dan kencing manis.
Lebih memilukan, wang pencen yang diterimanya kira-kira RM1,000 sebulan tidak mencukupi untuk menguruskan makan minum beliau sekeluarga termasuklah menanggung sewa rumah yang mereka diami di Kampung Bahagia, di sini.
Shahidin memberitahu, walaupun beliau tinggal bersama anak angkatnya, Rohaya Arshad, namun menantunya turut menghidap strok serta penyakit kencing manis dan bergantung kepada rawatan insulin.
“Saya kalau boleh tidak mahu menyusahkan sesiapa, tetapi apabila memikirkan keadaan hidup yang sukar seperti ini, saya mengharapkan jasa baik pihak-pihak tertentu untuk membantu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Terdahulu, Shahidin menerima kunjungan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Abu Bakar Yahya yang turut menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan bebanan keluarga bekas guru agama Sekolah Kebangsaan Kampung Matang Kunda itu.
Turut serta dalam kunjungan itu ialah Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Teluk Intan, Nazri Sudin; Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak, Rahim Shah Kassim Shah serta Ketua Kampung Sungai Manik Kiri, Ishak Abdul Razak.
Sementara itu, Abu Bakar meminta pihak berwajib khususnya kerajaan negeri supaya tampil membantu meringankan beban keluarga Shahidin.
“Saya harapkan mereka yang memerlukan bantuan ini perlu diberikan sewajarnya oleh mana-mana pihak berwajib. Mereka ini juga adalah rakyat dan sebagai kerajaan adalah tanggungjawab kita untuk membantu,” ujarnya. – K! ONLINE











