Kaji semula SOP penahanan suspek autistik - Utusan Malaysia

Kaji semula SOP penahanan suspek autistik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 17 Sept. – Polis digesa mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) sedia ada berkaitan penahanan mana-mana suspek kes jenayah autistik yang dilihat tidak wajar kerana tidak sepadan dengan tahap kewarasan golongan tersebut.

Pengarah Media Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Johari Abdullah berkata, merujuk kepada kes penahanan pemuda autistik berumur 22 tahun baru-baru ini kerana menyentuh dada seorang gadis, pihaknya percaya tindakan polis adalah mengikut SOP sedia ada.

Walau bagaimanapun katanya, tangkapan tersebut perlu dilihat dalam konteks lebih kritikal dan menepati keadaan serta situasi kewarasan pihak yang terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Rentetan kes seumpama ini membuka mata masyarakat terhadap keperluan dan keperihatinan untuk menyelami serta memahami tingkah laku pengidap autisme serta memberi ruang kepada pihak polis agar SOP lebih sesuai dengan autisme dapat diperhalusi semula pada masa depan.

“Kajian yang sewajarnya harus dilakukan terhadap SOP tersebut berkaitan pengidap autisme supaya keadilan kepada golongan ini terbela serta jauh daripada unsur berat sebelah kepada mangsa dan tertuduh,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Selasa lalu, seorang pemuda autistik ditahan kerana dikatakan meraba seorang gadis dalam kejadian berhampiran sebuah restoran di Jalan USJ 10/1B, Subang Jaya.

Bagaimanapun, Mahkamah Majistret Petaling Jaya menolak permohonan reman terhadap suspek kerana lelaki itu didapati mengidap autisme.

Mengulas lanjut, Johari berkata, POKB amat sensitif dengan isu seumpama itu kerana golongan autistik antara golongan istimewa yang mana perilakunya amat berbeza dengan manusia biasa.

Katanya, ketidakmampuan mereka untuk membezakan antara baik dan buruk sesuatu perkara antara faktor yang memungkinkan mereka bertindak di luar jangkaan pemikiran masyarakat sekeliling.

“Perkembangan seksual mereka pula adalah sama seperti manusia normal.

“Hal ini menggambarkan bahawa apabila golongan autistik menyukai seseorang, dia akan bertindak lebih agresif tanpa menyedari perbuatan yang akan dilakukan itu dapat diterima oleh orang sekeliling atau sebaliknya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini