KOTA KINABALU 17 Sept. – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan tidak mahu ‘membunuh’ Petronas hanya semata-mata memastikan rundingan pembayaran royalti minyak sebanyak 20 peratus kepada Sabah dan Sarawak direalisasikan.
Perdana Menteri berkata, royalti akan tetap dibayar tetapi mekanisme pembayarannya mesti dikaji secara terperinci untuk memastikan syarikat minyak negara tidak kehilangan wang dan pada masa sama kedua-dua negeri mendapat hak mereka.
“Kita tidak mahu membunuh Petronas, kalau keluarkan sebanyak 40 peratus kos operasi Petronas akan kehilangan wang, Petronas adalah syarikat minyak milik negara yang amat unik kerana terlibat meneroka minyak, pembangunan produk serta terlibat dalam petrokimia sehingga seluruh dunia meminta Petronas melakukan kerja di negara mereka.
“Kalau hanya guna Petronas untuk mengutip royalti maka kita akan kehilangan wang, namun pada masa sama kita merasakan ada keperluan untuk mengkaji balik pembayaran royalti sebanyak lima peratus daripada kos operasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan Kabinet Sabah di sini pagi ini.
Menurut Dr. Mahathir, sehubungan itu, Petronas juga perlu dipertahankan kerana kepentingan syarikat itu.-UTUSAN ONLINE











