KUALA LUMPUR 16 Sept. – Seorang pekerja wanita di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Gombak dekat sini berhadapan detik cemas apabila disamun tiga lelaki, kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 5.43 pagi itu, ketiga-tiga suspek didapati bersenjata dan memakai topi memasuki premis tersebut lalu mengugut wanita berkenaan.
Difahamkan, drama rompakan tiga suspek berkenaan turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.
Rakaman berdurasi 40 saat itu menunjukkan ketiga-tiga suspek yang bersenjatakan parang dilihat mengugut pekerja terbabit sebelum menyelongkar barang dan wang tunai di dalam peti simpanan wang di kaunter.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
“Usaha mengesan suspek giat dijalankan termasuk mengenal pasti identiti suspek melalui rakaman CCTV di lokasi kejadian,” katanya di sini. – UTUSAN ONLINE











