KUALA NERUS – Kepimpinan Pas diingatkan tidak beria-ia dalam menjalinkan kerjasama dengan pihak yang ingin bertaawun dengan parti itu sebelum mereka memahami kehendak dan perjuangan utama Pas sebagai parti pembangkang yang memperjuangkan Islam.
Itu antara syarat yang diletakkan Dewan Ulama Pas yang dikemukakan wakilnya, Zulkarnain Hassan ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan Pas ke 64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di sini, hari ini.
“Pastikan pihak yang ingin bertaawun yang datang kepada kita terlebih dahulu, bukan sebaliknya kita yang beria-ia pergi kepada mereka,” katanya.
Dewan Ulama turut meletakkan tiga lagi syarat iaitu sentiasa meletakkan Islam sebagai keutamaan dan tidak meninggalkan asas perjuangan parti serta kerjasama yang dijalinkan haruslah berlandaskan untuk mengukuhkan blok pembangkang.
“Pihak yang ingin bertaawun juga harus terlebih dahulu ditarbiyah dan diberi penerangan secukupnya jika mereka mahu bersama-sama kita dalam agenda memperkukuhkan Islam,” katanya. – Bernama











