KANGAR – Seorang bapa dan anak lelakinya sanggup menempuh pelbagai godaan serta dugaan demi merealisasikan misi berjalan kaki dari Johor ke Perlis sejauh 1,400 kilometer (km) bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara sempena Hari Malaysia.
Kembara selama 26 hari itu yang tamat pukul 12 tengah malam tadi berjaya direalisasikan di Dataran Keris di sini.
Menurut seorang buruh lelaki yang kini menetap di Ipoh, Perak, R. Ragu, 43, misi itu memberi kepuasan kepada dirinya sempena sambutan Hari Malaysia.
“Pelbagai dugaan dialami seperti dimaki hamun sebagai orang gila, dilempar sampah sarap selain anak saya yang ingin menarik diri.
“Namun, ada juga momen manis seperti ada penduduk sekitar perjalanan yang sudi menawarkan tempat tinggal dan minuman.
“Tiga buah beg yang saya bawa dengan kapasiti 15 kilogram (kg) menjadi 70 kg kerana sarat dengan pemberian botol air mineral oleh penyokong misi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.
Misinya bermula pukul 7 pagi dan tamat pukul 7.30 malam sepanjang 26 hari misi itu.
Malah, berat badannya susut 30 kg iaitu 50 kilogram berbanding 80 kg sebelum ini.
Selain itu, dia terpaksa menggunakan empat pasang kasut sepanjang perjalanan dan mengeluarkan kos perbelanjaan sendiri kira-kira RM14,000.
Ketibaan Ragu yang buta huruf bersama anaknya R. Surya, 13, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St. Michael, Ipoh, Perak disambut oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Misi dua beranak ini bermula dari Balai Polis Danga Bay, Johor dan tamat di Kangar. – K! ONLINE











